11 November 2021

MAHU NYNAA SEGERA PULANG, SUAMI FAILKAN NUSYUZ - BAPA MENTUA MENGAKU TIDAK BERSALAH



Suami Nynaa Harizal iaitu Mohamed Fahmi Mohamed Ilyas akhirnya membuat tuntutan nusyuz agar pelakon itu kembali taat dan pulang ke pangkuannya, selepas hampir dua minggu Nynaa didakwa keluar rumah tanpa kebenaran.

Permohonan itu difailkan Mohamed Fahmi, 29, selaku plaintif di hadapan Penolang Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Noriah Zakaria pada petang Khamis.

Berdasarkan dokumen yang dikongsikan, Nynaa atau nama sebenarnya Nurul Hanynaa Harizal, 25, selaku defendan diperintah kembali taat dan pulang ke kediaman mereka di Jalan Pinang, Kuala Lumpur dengan segera.

Permohonan itu bertujuan menyelamatkan pernikahan mereka dan Nynaa kembali menjalankan tanggungjawab sebagai isteri, selain hidup dalam kasih sayang.

Mohamed Fahmi yang berkahwin dengan Nynaa pada 28 Ogos lalu dan belum dikurniakan cahaya mata itu ketika ditemui di perkarangan mahkamah berkata, dia bersedia pada bila-bila masa menerima kepulangan isterinya itu.

"Saya sentiasa ada untuk awak. Awak boleh hubungi saya bila-bila masa... saya harap kita dapat berjumpa dalam masa terdekat. I love you sayang! Saya harap awak kuat, banyakkan berdoa kepada Allah dan berzikir. Saya menghitung hari untuk berjumpa awak... jangan berhenti berdoa setiap hari," katanya.

Klik untuk gambar besar



Dalam prosiding itu, Mohamed Fahmi diwakili peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. Mahkamah kemudian menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula kes terhadap permohonan itu.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pula, bapa Nynaa iaitu Harizal Hashim, 49, mengaku tidak bersalah atas dakwaan mengugut dengan mengeluarkan sepucuk pistol terhadap seorang lelaki pada 2 November lalu.

Harizal yang juga seorang bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, pada Khamis.

Berdasarkan pertuduhan, Harizal didakwa menakutkan Mohamad Nur Usry Mohd. Yusoff, 25, dengan mengeluarkan sepucuk pistol jenis CZP-07. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan U13/25J, Jalan Setia Perdana, Alam Nusantara, Setia Alam pada pukul 1.40 pagi pada tarikh berkenaan. Mahkamah mengenakan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Disember depan untuk sebutan kes berkenaan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: