03 November 2021

PANAS BARAN - POLIS TAHAN SUAMI PELAKON TAMPAR ANAK KETIKA MABUK



Pada Ahad lalu, seorang pemuzik yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol telah bertengkar dengan isterinya yang juga pelakon wanita sebelum menampar muka anak mereka.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada pelakon wanita berusia 41 tahun itu pada Ahad. Menurutnya, mangsa mendakwa suaminya yang berusia 35 tahun itu juga seorang yang panas baran.

"Kejadian berlaku pada awal pagi 31 Oktober lalu. Semasa kejadian, suami pengadu dipercayai berada dengan pengaruh alkohol dan telah menampar muka anak mereka ketika cuba membantu pengadu yang dikasari. Menurut pengadu suaminya juga seorang yang panas baran.

"Siasatan awal mendapati anak perempuan mangsa berusia sembilan tahun meminta ibunya membawanya keluar dari rumah itu kerana tidak mahu tinggal lagi bersama suspek yang juga bapanya kerana takut dan trauma. Mangsa mengalami kecederaan di pipi dan telinga akibat dilempang.

"Susulan itu, suspek ditahan dan direman selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Klik untuk gambar besar



Tambah Ashari, pihaknya difahamkan kejadian ini bukan kali pertama berlaku terhadap pelakon berkenaan yang mendakwa pernah dipukul suaminya sebelum ini namun tidak memanjangkan perkara itu kerana memikirkan nasib anak mereka.

"Pengadu pernah dipukul sebelum ini oleh suaminya namun tidak mahu mengambil tindakan kerana fikirkan nasib anak mereka," jelasnya lagi.

Pelakon wanita terbabit pernah berlakon drama 'Kampong Pisang Bersiri-siri' arahan Allahyarham Mamat Khalid. Selain itu, dia turut pernah membintangi filem 'Sembilu', 'Kala Malam Bulan Mengambang', 'Dukun' serta 'Hantu Kak Limah: Husin', 'Mon dan Jin Pakai Toncit'.

Pelakon wanita berkenaan mendirikan rumah tangga dengan suspek pada 2011 dan dikurniakan seorang anak perempuan. Bagaimanapun pelakon berkenaan ketika dihubungi enggan memberikan sebarang komen kerana kes masih dalam siasatan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: