"Memang ada rawatan susulan yang kena buat seperti saya ada empat sesi kemoterapi atau tambah dua lagi menjadi enam sesi dengan dos ubat yang berbeza sebab doktor kata dia beri yang lebih kuat. Ia bagi memastikan akar-akar sel kanser itu betul-betul mati.
"Jadi, selepas itu saya akan buat 'scan' semula untuk tengok macam mana keadaan dalam badan, dan doktor juga rancang nak buat pemindahan tulang sum-sum (stemcell transplant)," kata penyanyi Elyana perlu menjalani rawatan susulan seperti kemoterapi dan juga pemindahan tulang sum-sum, meskipun kini bebas dan sudah pulih daripada kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya.
Dihubungi baru-baru ini, Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 34, berkata dia perlu menjalani kira-kira empat hingga enam kali lagi rawatan kemoterapi bagi memastikan akar sel-sel kanser di dalam badannya betul-betul mati.
Menurut Elyana, apa pun pemindahan tulang sum-sum itu bergantung kepada keadaan. Namun, kini dia sangat bersyukur ke hadrat Yang Esa kerana keajaiban diimpikan untuk kembali sihat selama ini sudah menjadi kenyataan.
Klik untuk gambar besar
"Selain keluarga, kenalan rapat, sahabat dan peminat yang banyak memberi semangat untuk saya terus kuat berjuang melawan penyakit ini, terima kasih banyak-banyak diucapkan juga kepada semua rakyat Malaysia yang sudah mendoakan kesihatan saya.
"Kalian semua adalah rakyat Malaysia yang sangat prihatin. Saya berterima kasih sangat-sangat kerana ini bab-bab kebaikan yang kita kena pandang dan ambil peduli sebab bukan senang nak minta orang doakan kita," tuturnya.
Penyanyi lagu 'Kalis Rindu' dan 'Tak Tercapai Akalmu' ini juga berharap segala doa baik-baik sudah dikirimkan kepadanya itu akan berbalik semula kepada mereka semua yang mendoakannya selama ini.
________________________
No comments:
Post a Comment