20 December 2021

BAWA ANAK TURUN PADANG - ACHEY MAHU TIARA LIHAT REALITI KEHIDUPAN & UJIAN ALLAH



"Saya membawa Tiara ke lokasi yang tidak berbahaya dimana kawasan yang air sudah surut dan tidak mendatangkan risiko untuk bawa anak kecil. Malah, di lokasi itu juga ramai kawan-kawan Tiara yang turut terkesan akibat bencana ini.


"Ramai yang mengulas mengatakan saya membahayakan nyawa Tiara, namun realitinya tidak begitu kerana saya sendiri tak berani hendak ke tempat yang air masih berada di paras tinggi. Apa yang penting segala langkah keselamatan turut dititik beratkan.

"Saya mahu anak melihat ujian Allah SWT dan segalanya boleh berlaku sekelip mata. Ini adalah realiti kehidupan dan setiap insan diuji dalam pelbagai bentuk," demikian kata pelawak Achey yang menjelaskan tindakannya membawa anak angkatnya, Nur Tiara Zinnirah Nasir turun padang adalah kerana mahu dia melihat keadaan banjir di lokasi untuk memperlihatkan realiti kehidupan dan ujian Allah SWT.

Perkongsian Achey sebelum ini menerusi paparan di media sosial membawa Tiara mengundang reaksi pelbagai pihak. Dek kerana itu, Achey tampil menjelaskan situasi sebenar bagi memastikan perkongsian yang dimuat naik tidak mendatang salah faham.

Klik untuk gambar besar


Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 35, berkata, biarpun anak perempuannya itu masih kecil, namun harus didedahkan dengan isu semasa dan keadaan sekeliling.

Ahli kumpulan Boro itu ketika dihubungi sedang dalam perjalanan ke pusat perpindahan sementara (PPS) berhampiran kawasan rumahnya untuk menghulurkan bantuan berbentuk keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir.

"Kawasan berhampiran rumah saya turut terkesan akibat banjir, bahkan sebelum ini saya pernah ke Merbau Sempak yang dekat dengan Saujana Utama. Ketika ini saya sedang memberikan bantuan berdekatan kawasan Parit Mahang, Bukit Cerakah dan Bukit Kuching. Semoga sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang diuji dengan bencana ini," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: