12 December 2021

ELAK PENYAKIT AIN - LINDA RAFAR BERNIQAB DALAM MAJLIS-MAJLIS TERTENTU, BUKAN 'FULL TIME'



Pelakon dan penyanyi, Linda Rafar dilihat tampil dengan penampilan baharunya dimana dia memilih untuk menutup sebahagian wajahnya dengan mengenakan niqab. Namun kata Linda, dia tidak berniqab sepenuhnya tetapi hanya pada majlis-majlis tertentu.

Dedah Linda, 43, dia sedar ramai dalam kalangan netizen sewenang-wenangnya melabelkan dirinya sebagai oportunis terhadap agama hanya kerana menggayakan penampilan berniqab dan pada masa sama, menjalankan perniagaan hijab menerusi jenama LR Hijab.

Linda terlebih dahulu telah merujuk kepada golongan ulama dan pakar undang-undang agama, bahawa bukan satu kesalahan jika tidak berniqab secara total dan dalam masa sama menjadikan 'pakaian' Muslimah tersebut sebagai satu punca rezeki.

"Kalau dalam majlis-majlis tertentu memang saya berniqab tetapi saya tak pernah isytiharkan yang sudah berniqab 'full-time'. Ustaz kata kepada saya, jual tudung dapat pahala dan jual niqab lagilah berganda pahala itu. Niat saya memang sudah tentu nak cari rezeki yang halal.

Klik untuk gambar besar



"Kalau orang label saya penunggang agama, itu mulut mereka dan saya tak boleh kawal. Buka tudung atau tidak memelihara aurat itu yang berdosa. Keputusan mana-mana wanita untuk tidak lagi berniqab atau sebaliknya tidak menjadi satu kesalahan atau dosa pun. Itu kata ustaz yang saya rujuk," jelas Linda memberi justifikasi tentang penampilan baharunya.

Kata Linda atau nama lengkapnya, Azlinda Rafar, segala apa yang dilunaskan ketika usia semakin mencemburuinya kini adalah berlandaskan rasa taat kepada Allah, bukan manusia. Linda mengakui, masih belajar untuk menjadi seorang Muslimah yang lebih baik hari demi hari.

"Saya tahu ramai yang cakap itu ini apabila saya cakap saya tak declare sudah berniqab betul-betul. Pertama sekali, saya buat semua ini kerana Allah. Daripada saya layan komen budak-budak tak berakal dalam media sosial, sendiri yang pening nanti. Saya lebih suka merujuk kepada orang yang arif tentang hal agama.



"Saya dah lali dengan kritikan dan kecaman orang. Nak fikir mulut orang memang sampai bila-bila takkan habis. Ada yang cakap saya tak layak pakai niqab. Saya fikir, biarlah apa orang nak cakap yang penting kita sentiasa buat baik dan jaga hubungan dengan Dia yang cipta kita.

"Saya dalam proses untuk membersihkan diri. Membersihkan diri daripada segala dosa yang pernah saya buat seumur hidup. Apa yang saya buat sekarang adalah persediaan untuk menempuh hari kematian. Sekarang ini, Allah nombor satu, keluarga kedua dan kemudian, nombor tiga barulah hal berkaitan kerjaya.

"Orang tengok kita pakai baju labuh tutup sana sini, yang tahu dalam hati hanya diri kita sendiri dan Allah. Istiqamah bukan satu proses yang mudah tapi saya bersyukur kerana urusan sentiasa dipermudahkan. Sekarang, selain benda-benda wajib, saya amalkan 12 rakaat solat sunat dan tak tinggal berzikir 1,000 kali sehari," kata Linda yang merupakan anggota kumpulan Elite itu.

Melanjutkan bicara, Linda memaklumkan, keputusannya berniqab adalah untuk mengelakkan daripada terkena penyakit ain yang merupakan penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: