01 January 2022

2022 TAHUN DUKA - SUAMI ANITA BAHAROM KEMBALI KE RAHMATULLAH



Pembukaan tahun 2022 menjadi hari duka buat pelakon Anita Baharom apabila suaminya, Ismadi Ismail, 50, disahkan meninggal dunia di kediaman mereka di Bandar Nusa Rhu, Shah Alam, jam 8 pagi, hari ini.

Anita ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia menyedari perkara itu selepas suaminya tertidur dan tidak memberi respons apabila dikejut. Anita juga memaklumkan suaminya memiliki sejarah penyakit kencing manis.

"Pagi tadi, lebih kurang jam 8 pagi, saya bersiap-siap untuk ke masjid sebab ada pembentangan untuk program masjid berhampiran rumah sepanjang 2022.

"Saya ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan suami bantu saya untuk siapkan bahan pembentangan. Pagi tadi, dia cakap nak hantar saya ke rumah kawan yang juga AJK masjid. Sementara menunggu saya siap, dia terlelap sekejap di ruang tamu.

Klik untuk gambar besar



"Saya tengok dia tidur telangkup. Saya kejut tapi tak ada respon. Senyap, tak bergerak langsung. Saya tolak-tolak badan dia dan bila pegang tangan dia, dah rasa sejuk dah.

"Dia ada sakit kencing manis, tapi dia benar-benar menjaga kesihatannya. Sebelum ini pun, dia dalam keadaan baik dan boleh bekerja. Antara acara yang membabitkannya baru-baru ini adalah Konsert A Night With Aina Abdul. Tadi, pihak hospital dah datang ke rumah untuk mengesahkan kematiannya," jelasnya.

Ditanya mengenai proses pengurusan jenazah, Anita berkata, semuanya akan diuruskan di rumah dan pihak masjid.


"Dia selalu bergurau mengenai kematian. Katanya, dia akan pergi dulu. Dia pesan juga kalau dia meninggal dunia, kebumikan di kawasan tempat dia meninggal dunia. Jadi, kalau tak ada aral melintang, semuanya akan diuruskan di rumah atau masjid.

"Setakat ini, saya tak tak dapat pastikan lagi kawasan tanah perkuburan mana yang akan menjadi tempat persemadian terakhirnya sebab ada beberapa kawasan yang berhampiran. Saya akan maklumkan nanti," tambahnya lagi.

Ismadi meninggalkan Anita bersama tiga cahaya mata mereka, Syifa Dhia Nurina, Mohamad Dhia Iskandar dan Mohamad Dhia Iskandar.

Al-Fatihah.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: