11 January 2022

AL-FATIHAH - M SANI KEMBALI KE RAHMATULLAH



Pada jam 10 malam semalam, penyanyi lagu 'Rindu Hatiku Tidak Terkira' iaitu M Sani, 70, telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipercayai akibat penyakit kencing manis.

Berita pemergian Allahyarham M Sani atau nama sebenarnya, Md Sani Abu Yamin disahkan oleh anak keempatnya, Nor Saira Farrawahida. Nor Saira berkata, arwah bapanya tidak mempunyai penyakit kritikal, namun, sudah tertulis ajalnya.

"Arwah bapa meninggal dunia di HKL kira-kira jam 10 malam. Puncanya, kami kurang pasti, tetapi, jika diikutkan arwah menghidapi penyakit kencing manis.

"Namun, bukanlah penyakit kronik, namun, Allah lebih menyayanginya. Arwah dimasukkan ke HKL sebab sakit kaki akibat penyakit kencing pada Jumaat lalu. Ketika tiba ke HKL, arwah sudah pun meninggal dunia. Bagaimanapun, kami reda atas pemergiannya," jelasnya dipetik sebagai berkata Berita Harian

Katanya, jenazah arwah bapanya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa selepas Zohor. Allahyarham M Sani meninggalkan lapan cahaya mata menerusi dua perkahwinannya.

"Insya-Allah, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Titiwangsa selepas Zohor. Sekarang, jenazah masih berada di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Sri Rampai," katanya.

Mengimbas semula kerjayanya, arwah M Sani bergelar penyanyi selepas dinobatkan sebagai juara Bintang RTM 1971 pada usia 24 tahun. Allahyarham M Sani yang dilamar menjadi artis naungan syarikat rakaman, EMI Malaysia selepas menjuarai pertandingan itu pernah muncul dengan album Kerna Senyum Ku Terpikat, diikuti tiga EP iaitu 'Rindu Hatiku Tidak Terkira', 'Hidup Hanya Sementara' dan 'Hujan Malam'.

Beliau juga pernah muncul dengan album duet Sedangkan 'Lidah Lagi Tergigit' bersama Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Mengamalkan kehidupan 'low profile' sejak bergelar penyanyi, namun, lagu-lagu nyanyiannya tetap diminati ramai.

Penyanyi yang berwajah mirip aktor popular Bollywood, Amitabh Bachchan itu pernah membintangi dua filem, 'Si Badul' arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar pada 1978 dan 'Toyol' arahan Allahyarham Malek Selamat pada 1980.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: