09 January 2022

DENDEN TAK MAHU BERLAWAN BUKTIKAN SIAPA HEBAT: "PENGALAMAN & CARA SAYA & AMY BERBEZA"



"Saya tak ingin berlawan untuk buktikan siapa hebat kerana abang Amy adalah idola saya dari kecil sampai sekarang. Pengalaman kami dalam muzik juga berbeza dan masing-masing ada cara dan gaya tersendiri. Apa yang penting kami bersaing secara sihat.

"Saya tak mahu mengulas kalau ada yang kata saya tidak setanding atau tidak sesuai dengan kumpulan Search, itu terserah kepada pendapat masing-masing," itulah kata vokalis baharu kumpulan Search yang dibarisi oleh Noordin Mohd Taib (gitar), Kid (gitar), Yan (bass) dan Pae (drum), dikenali Denden Gonjales.

Kata Denden, dia tidak mahu dia dibandingkan dengan vokalis legenda, Amy yang kini bersama Nasir (bass), Hillary Ang (gitar) dan Man Kidal (gitar) dalam projek khas yang turut menggunakan nama Search juga.

Denden, 38, yang berasal dari Indonesia berkata, dia sememangnya berharap perkara ini tidak dibangkitkan oleh mana-mana pihak. Denden yang pernah menjadi tumpuan dunia berikutan aksinya di 'blind audition' program The Voice Bulgaria, mengakui pelawaan Noordin yang menawarkannya sebagai vokalis Search dianggap sebagai satu mimpi.

"Tentu saja saya amat teruja untuk menerima pelawaan ini. Orang pertama yang diberitahu ialah keluarga dan rakan-rakan terdekat saya. Saya tahu mengenai kumpulan Search sejak dari kecil dan banyak juga tahu tentang lagu-lagu mereka antaranya 'Isabella', 'Hilang Dalam Terang', 'Fantasia Bulan Madu' dan banyak lagi. Perasaan saya sangat senang dan tenang. Paling utama, bangga sekali kerana saya sekarang bergelar vokalis utama Search," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Denden yang bukan asing lagi dikalangan peminat Indonesia kerana pernah bekerjasama dengan penyanyi Inka Christie dan Judika berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk menyanyikan lagu-lagu Search yang diketahui bernada tinggi.

"Bagi saya tiada masalah kerana saya sangat menyukai nada-nada tinggi dan lagu-lagu Search sesuai dengan vokal saya. Saya kini tak sabar untuk datang ke Malaysia. Tentu saja saya akan datang ke Malaysia untuk beraksi bersama Search nanti dan kini masih lagi menunggu sebarang khabar terbaru.

"Selain menyanyi, saya juga boleh mencipta lagu dan bermain muzik. Tapi, lagu ciptaan saya tak sesuai untuk Search dan hanya serasi untuk nyanyian saya sendiri," jelasnya.

Terdahulu pengumuman mengenai penyertaan Denden dalam Search dibuat oleh Noordin pada sidang media yang berlangsung pada 31 Disember lalu di Kompleks Campbell, di sini.

Noordin mengakui kemampuan Denden menyanyikan lagu bernada tinggi amat sesuai dengan genre muzik Search. Selain itu, faktor usia Denden yang masih muda juga membuatkan mereka yakin dia boleh membawakan lagu-lagu Search dengan baik.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: