24 January 2022

FAZLEY YAAKOB: "ORANG MALAYSIA KE, SINGAPURA KE, INDONESIA KE, KITA DAH SATU RUMPUN"



"Buat kalian yang sibukkan, 'Kenapa orang Singapura yang menang? Sebab Tok Ram (Datuk Ramli MS) orang Singapura, maka dia menangkan orang Singapura', cubalah bersangka baik untuk kali ini!

"Rezeki semua Allah dah tentukan. Tak kiralah Malaysia ke, Indonesia ke, Singapura ke, kita dah satu rumpun. Jangan dibawa sentimen kenegaraan ke pentas rezeki Gegar Vaganza," demikian kata penyanyi dan bekas peserta program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Datuk Fazley Yaakob menerusi laman Instagram miliknya.

Dalam muat naik tersebut, Fazley meminta netizen supaya sentiasa bersangka baik dengan kemenangan penyanyi Singapura, Aliff Aziz di GV8 dan tidak menyentuh sentimen kenegaraan di media sosial.

Fazley juga mengingatkan semua itu adalah rezeki yang sudah tertulis buat Aliff. Menurut penyanyi yang digelar Abang 'Asmara' itu, rezeki setiap manusia tidak pernah salah alamat.

Klik untuk gambar besar



"Rezeki tak pernah salah alamat, namun mereka yang berhati hitam sering kali merasa mereka lebih layak mengutuk dan mengeji tanpa ada rasa segan. Tahniah buat Aliff Aziz dan Bella Astillah, kemenangan yang sudah diduga, kemenangan yang sudah ditentukan Allah dan bukan kemenangan yang dirancang manusia. Wallahualam," tulisnya lagi.

Dalam hantaran sama, Fazley yang menganggap Aliff seperti adiknya sendiri berkongsi mengenai pengorbanan dan kesungguhan Aliff dan isterinya, Bella Astillah di samping mendoakan kesejahteraan rumah tangga mereka.

"Saya sendiri melihat bagaimana seorang isteri mengorbankan segala-galanya demi melihat kejayaan suami di pentas perjuangan. Pernikahan yang bergolak hebat dipelihara oleh pegangan agama yang semakin teguh. Abang tumpang bangga dengan kalian berdua.

"Allah sentiasa akan berlaku adil! Ini adalah kemenangan kalian sebagai pasangan! Semoga masjid yang dibina kekal teguh hingga ke hujung nyawa!" ujar Fazley.


Bukan hanya Fazley sahaja yang memberikan pandangan, malah pemenang tempat kedua GV8 iaitu Nikki Palikat juga turut tampil bersuara berhubung isu Aliff yang ketika ini sedang hangat diperkatakan. Nikki berkata Aliff sememangnya layak bergelar juara serta menyifatkan penyanyi itu seorang yang rajin.

"Aliff layak menang sebab bagi saya dia peserta yang rajin. Malah Datuk Syafinaz ada memberitahu dia seorang yang mempunyai tahap 'musicality' yang kuat. Saya nampak dia punya kesungguhan setiap minggu. Tumpang gembira dengan kejayaannya. Jangan bazirkan tenaga untuk bergaduh-gaduh sebab kalian boleh nantikan single terbaru saya yang akan dilancarkan tidak lama lagi," jelasnya.

Dalam pada itu, Nikki berkata dia berpuas hati dan menerima keputusan juri. Kata Nikki, dia gembira serta meluahkan rasa syukur kerana dapat merealisasikan impian kedua ibu bapanya untuk melakukan renovasi rumah.

"Saya percaya dengan keputusan yang dinilaikan para juri mengenai keputusan malam ini. Apa pun saya bersyukur. Sekurang-kurangnya wang kemenangan dapat juga saya penuhi impian untuk lakukan renovasi rumah. Itu azam saya dan akhirnya ia tercapai. Saya gembira," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: