24 January 2022

'HINGGA AKHIR WAKTU' ANGKAT KISAH IBU BAPA UYAINA: "BABA MENINGGAL DUNIA KETIKA SAYA 5 TAHUN DI NEW ZEALAND"



"'Hingga Akhir Waktu' adalah lagu yang ditulis bersama oleh Raja Syahiran. Interpretasi lagu ini luas. Bukan sahaja terhadap pasangan, tetapi cinta ibu bapa kepada anak anak, dan anak anak kepada ibu bapa. Malah kisah kedua ibu bapa saya adalah cerita yang kami angkat sebab ia adalah berdasarkan kisah sebenar. Arwah Baba saya adalah seorang anggota TLDM.

"Baba meninggal dunia ketika saya berusia lima tahun di New Zealand. Hampir 25 tahun berlalu, Ummi tak berkahwin lain dan membesarkan empat orang anak seorang diri. Bagi Ummi, erti 'Hingga Akhir Waktu' adalah cinta bersama arwah suaminya dan kebahagiaan yang dikongsi bersama anak anak dan cucunya," ujar pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad.

Uyaina mengangkat kisah hidup orang tuanya dalam video muzik (MV) 'Hingga Akhir Waktu' yang telah dilancarkan pada Ahad semalam di saluran YouTube miliknya. Sehingga kini muzik video berkenaan sudah pun menerima lebih 34,000 tontonan.

Klik untuk gambar besar



Menurut Uyaina, arwah bapa Leftenan Komander Arshad ialah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia ketika dia berusia lima tahun di New Zealand.

Berkongsi lanjut lagu 'Hingga Akhir Waktu', idea asal bermula daripada suaminya Raja Syahiran dan jalan cerita melalui Uyaina sendiri, sementara lirik oleh Iky Asyraf, Raja Syahiran dan Uyaina. Menariknya, dalam MV itu, Uyaina melakonkan watak ibunya, Siti Noor Farah.

"Saya memegang watak Ummi ketika muda dan abang saya yang nombor dua, Kapten Azameer Uzreem memegang watak sebagai arwah Baba waktu muda. Semoga lagu dan MV lagu Hingga Akhir Waktu dapat diterima baik. Saya tidak sabar nak melihat maklum balas daripada semua. Dalam masa sama, saya ingin mesej dalam lagu dan MV ini sampai," katanya.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: