02 January 2022

JADI FINALIS 'HIJRAHKU LAGUKU' - IWAN TETAP DENGAN PENDIRIAN ENGGAN NYANYI LAGU CINTA LAGI



"Kemunculan saya bukan mahu mengejar glamor atau memberi petanda mahu aktif semula. Saya masih menyanyi, tetapi lagu yang dinyanyikan hanya berkonsepkan kerohanian, bukan lagi lagu cinta yang melalaikan. Malah, saya tidak akan melakukannya jika disuruh menyanyikan semula lagu-lagu cinta lama.

"Cukuplah setakat itu sahaja," demikianlah kata bekas penyanyi dangdut popular, Iwan Syahman, 60, yang enggan lagi menyanyikan lagu cinta, sebaliknya hanya akan menyanyikan lagu bercorak ketuhanan sahaja.

"Sejujurnya, saya menyesal mencipta lagu yang melalaikan. Kita lahir ke dunia untuk menceritakan kebesaran Allah SWT, bukannya mengagungkan dan memuja sesama manusia.

"Banyak lagu popular saya ditukar lirik menjadi lagu dakwah. Antaranya, lagu 'Fantasia Musim Cinta' yang diubah menjadi Asmaul Husna dan 'Wulan' ditukar kepada Tuhan. Saya sudah merakamkan tujuh album kerohanian sejak berhijrah. Antara lagu mendapat perhatian adalah RASA iaitu 'Rindu Allah Sayang Allah'," ceritanya lagi.

Sejak berhijrah, fokus Iwan lebih tertumpu kepada aktiviti keagamaan dan penyebaran dakwah lebih sedekad lalu. Penampilannya juga cukup berbeza dengan apa yang pernah dilihat pada zaman kegemilangannya. Membuang jauh imej glamor, tetapi penyanyi jolokan Raja Dangdut kini selesa mengenakan jubah dan kopiah.

Bagaimanapun, terbit pertanyaan adakah Iwan mahu kembali ke dunia nyanyian apabila penyanyi kelahiran Kisaran, Sumatera Utara, Indonesia itu diumumkan sebagai finalis program realiti, Hijrahkan Laguku terbitan TV Alhijrah.

Klik untuk gambar besar



Seakan mengerti persoalan yang bermain di fikiran, penyanyi yang popular menerusi lagu 'Fantasia Musim Cinta' dan 'Yang Sedang Sedang Saja' menepis dakwaan itu.

Mengulas kehidupannya, Iwan berkata, dia bahagia melayari perkahwinan ketiga bersama Evie Surriyanti sejak 12 tahun lalu. Hasil perkongsian hidup bersama wanita yang berasal dari Permatang Siantar, Medan, Indonesia, pasangan itu dikurniakan dengan enam cahaya mata.

"Alhamdulillah, saya bahagia dengan isteri dan enam cahaya mata. Saya memang mahukan ramai anak. Walaupun rumah macam kapal pecah dan bising dengan jeritan dan tangisan, tetapi kami tetap gembira," tambah Iwan atau nama sebenarnya, Wan Syahman Wan Yunus.

Terdahulu, Iwan mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan penerbit, Allahyarham Rosnah Mohd Noor selama lapan tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata, Wan Ramada Agus Putra, Octovia dan Aprena.

Perkahwinan kedua Iwan bersama Wan Rafidah Abu Bakar pada 1988 hanya bertahan selama lapan tahun. Mereka mempunyai anak angkat, Nursyafiqah Emisya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: