30 March 2022

KEADAAN ALI XPDC SUDAH HAMPIR 50 PERATUS PULIH - ISTERI LEGA KOS RAWATAN DITANGGUNG BAITUMAL



"Selain perlu membeli lampin pakai buang dan susu, kami juga perlukan wang untuk membeli makanan. Selain itu, kos anak berulang-alik ke hospital untuk menghantar makanan setiap hari. Buat masa ini, kami sekeluarga menumpang di rumah sewa anak kedua saya di Sungai Besi.


"Ini bagi memudahkan anak berulang-alik menghantar keperluan suami dan saya di hospital. Jika tidak, rumah kami di Klang," itulah tutur isteri kepada vokalis XPDC, Ali, 53, iaitu Sharifah Azwana Syed Joned, 50.

Dalam pada itu, Sharifah Azwana lega kos rawatan ditanggung Baitumal. Jika tidak, dia runsing memikirkan bagaimana hendak menjelaskan kos rawatan di Hospital Ampang selama tiga minggu RM12,000, sebelum ini.

Tambah Sharifah Azwana, dalam keadaan sekarang, suaminya yang dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras, di sini akibat serangan angin ahmar itu memerlukan perhatian rapi.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, Sharifah Azwana bersyukur Ali atau nama penuhnya, Mohd Ali Ismail menunjukkan perubahan positif. Tambahnya, Ali sudah boleh bercakap dengan jelas biarpun agak lambat.

"Dia masih belum mampu menguruskan diri sendiri. Jadi, saya perlu sentiasa berada di sisinya bagi membantu memakaikan lampin dan sebagainya. Selain itu, kaki dan tangan kanan boleh digerakkan. Namun, suami perlu menjalani rawatan fisioterapi setiap hari.

"Mengikut jangkaan doktor, jika suami menunjukkan perkembangan baik mungkin dia perlu dirawat selama sebulan. Sekarang, keadaan suami hampir 50 peratus pulih, kakinya semakin kuat cuma masih kebas.

"Suami sudah boleh melangkah tetapi perlu dibantu. Aktiviti paling digemarinya ketika sesi fisioterapi adalah mengayuh basikal. Namun, disebabkan badannya masih kebas, suami sukar mengawal membuang air kecil dan besar. Sebab itulah dia perlu menggunakan lampin pakai buang.

"Doktor juga memeriksa tekak suami kerana dia belum boleh menikmati makanan seperti biasa. Jadi, untuk tempoh dua bulan ini, suami hanya minum susu melalui tiub," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: