25 March 2022

"KITA KENA BERIKAN PENGHORMATAN KEPADA AMY SEARCH... MUNGKIN FAKTOR USIA & SISTEM BUNYI" - AMIR UKAYS



Pada Selasa, tular satu video yang menunjukkan Amy Search membuat persembahan pentas menyanyikan lagu popular, 'Isabella'. Menerusi ruangan komen, terdapat segelintir netizen yang mengkritik vokal Amy kerana dianggap sudah tidak mampu menyanyikan lagu bernada tinggi dengan baik.


Selain itu, ada juga yang mengatakan susunan muzik yang dimainkan tidak sehebat ketika Amy bersama kumpulan Search. Enggan melatah dengan sindiran seperti itu, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, berkata dia percaya rezekinya dalam bidang nyanyian masih ada.

Berhubung situasi tersebut, vokalis kumpulan Ukays, Amir, 53, tampil bersuara dengan mengatakan faktor usia Amy Search yang sudah mencecah 64 tahun mungkin menjadi punca nyanyian penyanyi rock legenda itu sudah tidak bertenaga seperti zaman kegemilangannya dahulu.

Bukan sahaja Amy, malah Amir, 53, mengakui turut menurunkan 'key' atau nada bagi beberapa lagu mengikut kemampuan vokalnya kini. Bagaimanapun, menurut Amir tidak salah untuk seseorang penyanyi menghulurkan mikrofon kepada penonton ketika persembahan. Ia juga dilihat salah satu cara untuk penyanyi berinteraksi dengan penonton di situ.

Klik untuk gambar besar



"Kita tak boleh balik kepada cerita 25 tahun lalu. Ini kenyataan yang perlu kita hadapi. Bagi saya, kita kena berikan penghormatan kepada Amy Search. Apa yang berlaku, mungkin disebabkan faktor usia dan sistem bunyi. Kena terima keadaan usia macam itu. Nak hulur mikrofon kepada penonton tak ada masalah, tetapi jangan terlalu lama," ujarnya.

Sementara itu, Amir atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof mengakui pernah kecewa dengan industri muzik apabila kumpulan yang sudah berusia 25 tahun itu tidak pernah diberi peluang mengadakan konsert besar-besaran. Amir berkata, bagaimanapun dia tidak pernah berhenti dan mengalah untuk terus mencari penaja bagi merealisasikan impian kumpulan itu.

Menurutnya, di usia 50 tahun, dia bersyukur kerana akhirnya Ukays berpeluang mengadakan konsert berskala besar iaitu Konsert UK's Reunion 25 Tahun di Istana Budaya, di sini, pada 17 dan 18 Jun ini.



"Selama 25 tahun dalam industri muzik, pada mulanya saya memang sudah kecewa kerana Ukays tak pernah diberi peluang langsung. Namun, kami tak pernah berhenti untuk cuba mencari penaja-penaja yang sudi menaja dan menganjurkan konsert untuk kami. Dalam usia 50 tahun ini, Alhamdulillah kami dapat peluang ini. Dah lama kami simpan hasrat untuk mengadakan konsert berskala besar begini," tuturnya.

Berkongsi mengenai persiapan menjelang konsert, Amir memberitahu dia hanya memerlukan tidur dan rehat yang secukupnya untuk menjaga suara. Tidak mempunyai pantang larang dalam pemakanan, namun Amir akan mengelakkan makan makanan yang pedas.

"Saya tak ada amalkan apa-apa untuk penjagaan suara. Bagi saya, seseorang penyanyi itu kena cukup tidur dan rehat saja. Kalau tidur pun tak cukup dan tak rehat yang mencukupi boleh menyebabkan sukar untuk menyanyi. Saya pun tidak la terlalu menjaga pemakanan. Tapi selalunya saya akan makan makanan yang tak terlalu pedas... saya akan elak itu saja. Tak ada pantang apa-apa," jelasnya.

Konsert UK's Reunion 25 tahun dianjurkan oleh Mac Training Sdn Bhd bersama RCD Concepts Sdn Bhd dan menggabungkan ahli kumpulan UK's iaitu Amir selaku penyanyi, Denil (gitar), Olley (bass) dan Amirul (dram). Tiket-tiket untuk konsert ini sudah mula dijual bermula dengan harga RM111 hingga RM999.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: