24 April 2022

DISERANG ANGIN AHMAR - HAERIYANTO HASSAN KINI BERJALAN GUNA BANTUAN TONGKAT, PERLU BEREHAT PANJANG



Pelakon Haeriyanto Hassan, 51, yang diserang angin ahmar ringan sekitar Februari lalu itu kini berjalan dengan bantuan tongkat.


Menurut isteri Haeriyanto iaitu Afrinas Arif, pelakon terbabit masih dalam proses pemulihan untuk kembali sembuh sedia kala selepas terkena serangan itu.

"Alhamdulillah dia semakin beransur pulih. Dia sedang menjalani proses pemulihan di Hospital Cheras dan sudah mula berjalan dengan menggunakan tongkat buat masa ini.

"Dia sudah sebulan berada di sana dan akan pulang rumah dalam masa terdekat. Insya-Allah dia akan dapat beraya juga pada Aidilfitri ini," tuturnya yang dipetik sebagai berkata kepada Harian Metro.

Meskipun sudah menunjukkan perkembangan positif, Haeriyanto bagaimanapun tidak akan kembali bekerja dalam masa terdekat.

"Dia perlu berehat sekurang-kurangnya enam bulan ke setahun. Jadi, dia belum lagi boleh kembali bekerja dan perlu fokus pada kesembuhan dirinya. Dia berterima kasih buat semua yang mendoakan kesihatannya akan pulih kembali," katanya.

Pada 26 Februari lalu, Haeriyanto dikejarkan ke Hospital Ampang selepas mengalami serangan angin ahmar ringan yang mengakibatkan anggota badan sebelah kiri tidak boleh bergerak.

Adik iparnya yang juga penyanyi, Oja berkongsi pemeriksaan doktor mendapati ada darah beku bersaiz tiga sentimeter pada bahagian kanan kepalanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: