13 April 2022

JUMPA KELUARGA YASIN SULAIMAN - SYED SADDIQ KESAL TERLEPAS PANDANG MESEJ MINTA TOLONG DI FACEBOOK



"Tadi saya sempat berjumpa dengan keluarga Yasin. Saya mohon maaf kepada saudara Yasin sebab terlepas pandang post saudara pada Oktober lalu. Ia adalah suara meminta pertolongan bukan sahaja untuk Yasin tetapi untuk orang lain yang menderita dan memerlukan ganja perubatan sebagai rawatan.


"Tidak ada mak ayah yang nak tengok anak mereka sakit dan masuk penjara sebab cari rawatan. Ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk kesihatan anak-anak," itulah kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi laman Instagram pada Rabu.

Dalam entri tersebut, Syed Saddiq berkata dia akhirnya mengetahui mengapa namanya 'dipetik' komposer dan penyanyi nasyid Yasin Sulaiman ketika dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja pada 31 Mac lalu.

Ujar Syed Saddiq, dia kesal apabila baharu menyedari bahawa penyanyi lagu 'Mimpi Laila' itu pernah menulis mesej yang disifatkan sebagai 'cry for help' di Facebook pada Oktober lalu. Sehubungan itu, Syed Saddiq meluangkan masa mengadakan pertemuan dengan keluarga Yasin pada Rabu.

Klik untuk gambar besar



Sebelum ini, nama Syed Saddiq dipetik oleh Yasin yang kini ditahan atas dua pertuduhan mengedar dan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara.

Dalam pada itu, Syed Saddiq memberitahu ibunya juga merayu agar dia membantu Yasin yang dianggap layak menerima rawatan untuk kesihatannya.

"Mama saya pun merayu, mohon bantu saudara Yasin. Saya ada jumpa mak ayah yang terpaksa beli Cannabidiol atau CBD dari luar negara untuk anak-anak mereka. Doktor-doktor pun ada cuba bantu dapatkan CBD untuk pesakit. Mereka layak untuk mendapatkan perubatan untuk kesihatan mereka. Perkara ini melibatkan hidup dan mati," ujarnya.



Sementara itu, Syed Saddiq turut memberitahu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga sudah mengeluarkan kanabis atau ganja dari senarai narkotik.

"Saudara Yasin yang kita kenal ini baru satu, tapi ada banyak lagi Yasin yang kita tak kenal mungkin dah dihukum dan tidak mendapat rawatan yang betul. Undang-undang pengharaman perubatan kanabis dah lapuk.

"WHO sendiri dah keluarkan kanabis dari senarai narkotik. Realitinya, bila cakap mengenai rokok, rokok membunuh lapan juta orang setiap tahun, di Malaysia sahaja 27,000.

"Alkohol pula tiga juta kematian setiap tahun. Tapi bila bercakap hal kanabis untuk perubatan, tiba-tiba ia menjadi satu taboo dan tindakan hukuman undang-undang dikenakan. Ingat, pesakit bukan penjenayah!" tegasnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: