05 May 2022

PUTERI SARAH: "SAYA BUKANNYA 'BANGKAI BERNYAWA' YANG BOLEH TERUS TELAN GANGGUAN ORANG KETIGA BERTERUSAN..."



"Kemelut rumah tangga saya bagaikan tidak kesudahan dan tiada jawapan pasti, apatah lagi, diuji dengan gangguan orang ketiga, sekali gus mendera emosi dan mental. Hanya pada Allah saya meluahkan kesengsaraan disebabkan tidak mampu berkongsi dengan sesiapa demi menjaga maruah diri dan keluarga.


"Namun, saya juga manusia biasa yang mempunyai hati dan perasaan. Saya bukannya 'bangkai bernyawa' yang boleh terus menelan gangguan orang ketiga berterusan selama empat tahun. Hari ini, saya lega apabila segala yang terbuku di hati sudah pun terluah, sebelum saya berangkat ke Tanah Suci.

"Saya mahu mengerjakan ibadat dengan tenang, selain mohon petunjuk Allah," demikianlah luah pelakon Puteri Sarah yang tidak mahu lagi menanggung penyiksaan lebih parah hingga menyebabkannya berdepan penderaan emosi dan mental, selepas empat tahun memendam rasa.

Menurut Puteri Sarah, selama ini dia tidak berkongsikan perkara itu kerana mahu mempertahankan rumah tangga, namun sabarnya ada batas dan bersyukur segalanya terluah sebelum dia berangkat ke Tanah Suci Mekah baru-baru ini.

Klik untuk gambar besar



Memohon hidayah daripada Allah mengenai apa yang berlaku, Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 37, berkata dia reda dengan apa juga petunjuk Allah.

"Saya mahu memulakan kehidupan baharu sekembali dari Tanah Suci. Apapun detik hati dan petunjuk yang Allah berikan, itulah yang saya akan ikut. Buat masa ini, saya tak berani nak cakap apa-apa. Apapun keputusan saya selepas ini, itu adalah petunjuk Allah.

"Saya tak mampu nak tanggung sengsara seumur hidup. Saya perlukan ketenangan dalam mencari jalan keluar daripada kemelut rumah tangga tak berpenghujung," katanya.



Dalam pada itu, Puteri Sarah berkata dia masih memberikan suaminya, pelakon dan pengarah Syamsul Yusof ruang sekiranya mahu memperbaiki perhubungan, namun dia reda dengan apa sahaja takdir.

"Jika ditakdirkan jodoh bersama Syamsul masih panjang, saya terima. Namun, jika Allah sudah menetapkan, cukup-cukuplah empat tahun tanggung derita, saya reda dengan apa juga takdir yang tercipta.

"Segala-galanya bukan keputusan mudah, apatah lagi, sudah lapan tahun hidup bersama. Keluarga mentua pula terlalu baik, melayan saya seperti anak sendiri dan menyayangi Syaikhul dan Sumayyah tanpa berbelah-bahagi. Namun, ‘no turning back’ ketika pintu hati sudah tertutup rapat," ujarnya.

Terdahulu, Puteri Sarah mendedahkan rumah tangganya diganggu oleh orang ketiga hingga menyebabkan dia dan suami tidak tinggal sebumbung.






         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: