18 May 2022

TERIMA RAWATAN BIPOLAR DI HSB - SYED SADDIQ AKHIRNYA BERSEMUKA DENGAN YASIN SULAIMAN, BERI SOKONGAN



selepas berdepan hukuman gantung sampai mati akibat didakwa di mahkamah atas tuduhan mengedar ganja, penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, 47, telah mendapatkan rawatan penyakit bipolar kali pertama di Hospital Sungai Buloh, semalam.


Peguam Muhammad Yasin, Ariff Azami Hussein berkata, anak guamnya yang turut didakwa kerana menanam pokok ganja akan mendapatkan rawatan susulan dalam tempoh enam minggu ini di hospital sama.

"Ada dua perkara ingin dimaklumkan, pertamanya kami ingin memberi perkembangan pada pagi ini proses rawatan diuruskan oleh pihak penjara dan semalam OKT (Orang Kena Tuduh) itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

"Walaupun agak lewat (Yasin dibawa untuk rawatan), kami ucap terima kasih kepada mahkamah dan penjara kerana memungkinkan rawatan itu. Yang kedua, laporan kimia tak siap lagi, (namun) kami harap tarikh sebutan kes tak lama, sebulan (daripada hari ini)," katanya pada sebutan kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen, di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim dan Maryam Jamilah Ab Manaff memohon tarikh sebutan kes untuk penyerahan laporan kimia berkenaan. Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret Zhafran Rahim Hamzah dan Hakim Jamaludin Man menetapkan 22 Jun depan untuk tarikh sebutan berkenaan.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, selepas namanya 'diseru' Yasin, Ahli Parlimen Muar dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir bagi memberi sokongan kepada komposer dan penyanyi itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Selasa. Turut hadir pada prosiding abang Yasin iaitu Zain Sulaiman.

Yasin ketika ditemui berterima kasih kepada Syed Saddiq dan rakan yang hadir memberi sokongan kepadanya: "Semoga kerajaan mengeluarkan ganja daripada senarai narkotik," tuturnya.

Syed Saddiq pula berkata, beliau sudah berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperhalusi cadangan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

"Perdana Menteri ada membangkitkan isu ini dalam (mesyuarat) Kabinet dan saya dengar ada maklum balas sangat positif. Ada timbalan menteri memaklumkan bahawa Kabinet secara prinsip sudah meluluskannya dan akan ada wakil Kabinet yang uruskan. Saya memang sebaik mungkin akan membantu dalam isu ini supaya dilihat daripada sudut data dan sains," ujarnya.


Jelas Syed Saddiq lagi, dia gembira melihat keadaan penyanyi 'Mimpi Laila' itu yang kelihatan ceria dan tenang. Dalam pada itu, Syed Saddiq memberitahu kehadiran dia adalah bagi memberikan sokongan moral kepada Yasin dan keluarganya. Katanya, sebagai wakil rakyat dia akan cuba memastikan undang-undang negara mengikut perkembangan semasa.

"Tadi sempat berjumpa dengan saudara Yasin. Dia berada dalam keadaan tenang, yakin dan boleh lihat keceriaan di mukanya. Hatinya berada di tempat yang betul.

"Saya hadir untuk memberikan sokongan moral kepada saudara Yasin dan keluarganya. Sebagai penggubal undang-undang saya bertanggungjawab untuk memastikan bahawa undang-undang negara itu mengikut perkembangan arus semasa," ujarnya.

Manakala Zain berkata, ahli keluarga melawat Muhammad Yasin di Penjara Sungai Buloh setiap minggu bagi memberi sokongan kepada adiknya itu.

"Ahli keluarga memberi sokongan berterusan kepada Yasin sebab tak nak dia rasa tidak semangat dan akan pastikan dia makan ubat secara konsisten. Anak-anak dia juga berada dalam keadaan baik dan Yasin akan menghubungi mereka sekali seminggu," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: