06 June 2022

AIR MATA AMY SEARCH MENITIS SAAT BUAT PERSEMBAHAN, TERKENANGKAN ARWAH YAZIT



"Malam ini, saya sangat sedih. Sungguh sedih sebenarnya. Tidak ada seorang lagi sahabat yang kami sayang iaitu arwah Yazit. Pastinya, anda di sini pun begitu rindukan 'ketukan' dia," luah vokalis kumpulan Rock legenda tanah air, Amy Search yang menitiskan air mata saat membuat persembahan di Konsert Search Endemik 2022 yang berlangsung di Zepp KL, malam semalam, kerana rasa rindu terhadap sahabatnya, yang juga pemain dram kumpulan itu, Allahyarham Yazit Ahmad.


Di pentas itu, Amy berkongsi sedikit kisah kenangannya bersama Yazit yang baginya setaraf dengan pemain dram Led Zeppelin, John Bonham. Dalam masa sama, Amy juga turut berkongsi pesanan Yazit kepadanya, meminta supaya dia menjaga hasil karya seninya untuk manfaat keluarganya sekiranya dia sudah tidak ada.

"Dari dulu, kami sangat akrab dengan arwah Yazit. Dia adalah orang yang sangat berdisiplin soal kerja. Dia pantang kalau lambat, sentiasa menepati masa. Dia seorang yang serius, tapi juga kelakar dan dia sangat suka dengan gurauan saya. Dia suka masakan saya, asam pedas daging dan juga sambal sardin.

Klik untuk gambar besar



"Dia pernah berpesan kepada saya, 'Amy, lu ingat, suatu hari kalau gua dah tak ada, gua amanahkan lu tengokkan hasil kerja seni gua untuk anak bini gua yang gua tinggalkan'. Pada masa itu, saya rasa macam, kenapa nak kena cakap begitu?

"Ada satu ketika, sewaktu dia tengah sakit, saya pernah cakap dekat kawan-kawan, kalau apa-apa jadi kepada Yazit, kita kena jaga keluarga dia dan semua hasil kerja seni dia," katanya.

Selepas perkongsian itu, Search meneruskan konsert dengan mempersembahkan lagu khas buat Yazit, berjudul 'Hello Kawan'. Untuk makluman, Yazit disahkan meninggal dunia pada 26 September 2019 di Hospital Kuala Lumpur akibat kecederaan otak yang berpunca daripada kekurangan oksigen dalam badan.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: