07 July 2022

SELAMAT NIKAH KALI KEDUA - VANIDAH IMRAN BERSYUKUR BERTEMU JODOH DENGAN JURUTERA



Kira-kira jam 12.12 tengah hari tadi, pelakon Vanidah Imran, 49, telah pun selamat bergelar isteri kepada seorang jurutera dikenali sebagai Arifabillah Idris dengan sekali lafaz.


Pasangan itu dinikahkan oleh Pendaftar Nikah Cerai Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ustaz Muhammad Fairudz Saderi dengan berwalikan adik Vanidah, Johan Imran.

Pada majlis serba sederhana itu, Vanidah yang dilihat anggun mengenakan pakaian rekaan Rizman Ruzaini ini menerima mas kahwin berbentuk seutas rantai emas dan berbalas dua dulang hantaran, bagaimanapun wang hantaran dirahsiakan jumlahnya. Majlis berkenaan dihadiri oleh 50 tetamu terdiri daripada kalangan keluarga dan tempat rapat kedua-dua mempelai.

Kini kembali bergelar isteri, Vanidah berkata, ia bukan sesuatu yang mudah, namun berkat restu seluruh ahli keluarga dan sokongan rakan-rakan, niat baik itu dipermudahkan oleh Allah.

Klik untuk gambar besar



Justeru, sebelum tiba hari bahagia itu, Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 itu memilih mengunci mulut tanpa menghebahkannya.

"Sejujurnya yang tahu saya dan Arifabillah mempunyai hubungan istimewa hanyalah kawan rapat selain keluarga dan dua anak saya, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.

"Kawan rapat pun hanya dimaklumkan beberapa hari sebelum majlis pernikahan. Ada di antara mereka terkejut dengan berita ini, namun dalam masa tumpang gembira terhadap keputusan dibuat," ujarnya.


Kata Vanidah, sejujurnya dia gembira dan bersyukur kerana bertemu jodoh dengan Arifabillah yang memiliki persamaan dengannya. Jelas Vanidah, dia dan suaminya, berpengalaman melalui kegagalan dalam perkahwinan pertama serta dikurniakan anak, justeru, persefahaman lebih mudah dicapai.

"Kami pernah berkahwin. Masing-masing pernah melalui pengalaman hidup berumah tangga. Dia sebelum ini berstatus duda kepada empat cahaya mata. Jadi paling utama dalam memutuskan soal membina masjid kami, perasaan dan hati anak-anak perlu diutamakan," jelas Vanidah yang kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Untuk makluman, Vanidah pernah berkahwin dengan pelakon Rashidi Ishak pada Oktober 2000 namun bercerai pada Ogos 2018 selepas 17 tahun hidup bersama. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata, iaitu Mikail Aimran dan Maryam Rashika.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: