"Syukur Alhamdulillah, suami saya sekarang dalam keadaan sihat. Menerusi keputusan ujian Pemeriksaan Imbasan CT (Computed Tomography) dibuat, pada masa ini nampak gayanya seperti dah 'clear'. Kemoterapi dapat bunuh semua sel-sel kanser itu. Tapi, suami saya mesti teruskan rawatan iaitu menjalani sesi radioterapi pula. Ia bagi memastikan sel-sel kanser berkenaan betul-betul berjaya dihapuskan.
"Kalau kemoterapi, suami saya perlu menjalani enam sesi pusingan rawatan, namun bagi radioterapi ini belum dipastikan lagi. Ditambah, Hospital Ampang (HA) tidak membuat sesi radioterapi dan kes suami saya sudah dirujuk kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Insya Allah, minggu depan baharu kami akan berjumpa pakar onkologi di sana," tutur isteri kepada penerbit album, komposer dan jurutera muzik terkenal, Roslan Aziz, 60, iaitu Sopphilea Hamid, 40, yang meluahkan rasa syukur apabila suaminya kini disahkan bebas daripada penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya sejak Disember, tahun lalu.
Berita gembira ini dikongsikan sendiri oleh isterinya ketika dihubungi untuk mendapatkan kepastian yang sahih selepas disiarkan sebuah portal berita. Sopphilea berkata, dia sangat bangga dengan semangat juang yang tinggi dalam diri suaminya untuk melawan kanser berkenaan. Jelasnya, kini dia sangat menjaga kesihatan Roslan terutama dari aspek pemakanan harian.
Klik untuk gambar besar
"Saya anggap ini 'peluang kedua' yang Allah SWT berikan kepada kami. Jadi, saya tak boleh sia-siakan dan perlu menjaga suami sebaik yang mungkin. Oleh itu, dalam tempoh sekarang saya sangat menjaga rutin pemakanan hariannya.
"Suami lebih difokuskan kepada pengambilan makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan saja. Saya memang elak ambil daging dan ayam buat masa ini. Malah, saya mempelbagaikan masakan harian bagi sayur-sayuran," katanya.
Menurut Sopphilea, inilah masanya juga dia berbakti menunjukkan keikhlasan cinta terhadap Roslan. Katanya lagi, dia sekeluarga kini begitu menghargai setiap 'moment' mereka bersama.
"Tak dinafikan, memang ajal maut itu ketentuan Allah. Namun, selagi ada peluang untuk berubat, saya rasa tidak ada salahnya untuk kita mencuba dan berusaha. Alhamdulillah, suami saya sangat positif dan dia sendiri kuat untuk bangkit melawan kanser dihidapi itu," ujarnya.
Sebelum ini, Roslan mendedahkan doktor juga menjangkakan tempoh hayatnya cuma mampu bertahan sehingga enam bulan saja, iaitu Jun lalu, berikutan kanser limfoma dihidapinya sudah memasuki tahap empat.
Terdahulu, melalui hasil perkongsian hidup Roslan dan Sopphilea selama 20 tahun, mereka dikurniakan dua anak lelaki, Megat Ali Aziz dan Megat Zayn Hamza Aziz.
Roslan yang juga bekas suami penyanyi Datuk Sheila Majid turut mempunyai dua cahaya mata iaitu Wan Nur Khaleeda dan Megat Abdul Majid Aziz, hasil perkahwinan lalu.
________________________
No comments:
Post a Comment