09 August 2022

TIDAK TAHU IQBAL TERBABIT SEKALI - VIDA AKUI BERDEBAR, CUBA BERSIKAP PROFESIONAL



"Mula-mula saya pun macam 'apa ni'? Pihak produksi memang pandai nak mengaturkan kami. Namun takkanlah saya nak bergaduh, bertekak atau nak balik. Saya tak nak menyusahkan orang. Jadi saya hadap saja. Saya dimaklumkan ada penggambaran tetapi siapa pelakon, skrip atau dialog tidak tahu... tiba-tiba bila sampai saja di set saya melihat Iqbal ada sekali.


"Mustahil saya nak gaduh, jadi saya profesional sahaja berdepan dengan dia," demikian jelas usahawan sensasi, Datuk Seri Vida yang kekal bersikap profesional ketika digandingkan dengan bekas pembantu peribadinya, Ahmad Iqbal Zulkefli semasa penggambaran sebuah filem, baru-baru ini.

Kata Vida, dia tidak mengetahui mengenai pembabitan Iqbal dalam filem komedi seram berjudul 'Gui' itu kerana tidak dimaklumkan mengenai pelakon lain. Tambahnya, produksi pada awalnya hanya memberitahu dia perlu melakonkan watak sebagai seorang pengetua sekolah.

Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, menerusi laman Instagram ada memuat naik video babak penggambaran memperlihatkan dia bersama Iqbal menjalani penggambaran tersebut.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Vida mengakui hilang kata-kata dan berdebar saat bertentang mata dengan Iqbal di set penggambaran filem berkenaan. Namun, Vida berkata dia sempat mengusik dan bertanyakan kepada Iqbal mengenai perancangan lelaki itu untuk mendirikan rumah tangga.

"Perasaan berdebar itu ada tetapi kami berdua saling tidak bercakap dan hanya buat hal masing-masing. Saya pun sempat tanya mengapa dia masih belum berkahwin, menunggu ke?" soalnya.

Sementara itu, Iqbal ketika dihubungi turut memberitahu dia tidak mengetahui bakal digandingkan dengan bekas majikannya itu. Iqbal berkata, dia sekadar bertegur sapa dengan Vida dan mereka kemudiannya menyelesaikan urusan masing-masing hinggalah penggambaran bermula.



"Pertemuan ini merupakan yang pertama antara kami selepas saling tidak berhubung selama setahun. Kami memang betul-betul bergaduh. Dia juga tidak bercakap dengan saya dan hanya bermain dan merakam video anak angkat saya saja. Tiada langsung bercakap dengan saya," jelasnya.

Menjawab persoalan Vida mengenai jodoh, Iqbal berkata bukan mudah untuknya mencari pasangan hidup meskipun mempunyai perancangan ke arah itu.

"Bukan mudah nak cari pasangan yang betul-betul memahami. Saya tidak memilih tetapi kalau boleh wanita yang memudahkan. Tiada sebarang syarat asalkan wanita itu tidak terlalu banyak drama dan karenah.



"Pada saya itu semua sudah cukup. Saya sudah melupakan segalanya dan memilih untuk meneruskan hidup. Saya memang tidak terfikir langsung lagi dah," ujarnya.

Iqbal bagaimanapun mempersoalkan dakwaan Vida kononnya tidak mengetahui kehadirannya di lokasi penggambaran kerana terdapat beberapa produk usahawan itu turut dipromosikan dalam filem berkenaan.

"Saya tertanya-tanya adakah betul Vida tidak tahu mengenai penggambaran ini kerana saya lihat produknya ada bersama," katanya.

Filem yang bakal ditayangkan di saluran Astro First itu turut dibintangi oleh Fauziah Nawi, Raden Era, Elly Mazlein, Bell Ngasri dan Ezad Jasmin.














         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: