08 October 2022

"KAMI SEKELUARGA MASIH TERKEJUT" - NABIL REDA PEMERGIAN BAPA, SEMPAT AJAR MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH



Semua sedia maklum, pengacara dan penyampai radio Nabil Ahmad telah kehilangan bapa tersayangnya iaitu Ahmad Ismail pada petang Jumaat. Nabil akui mereka sekeluarga masih berasa terkejut tetapi reda dengan pemergiannya.


Menurut Nabil, sebagai anak, dia juga bersyukur kerana dapat mengajar bapanya mengucap dua kalimah syahadah sebelum Allahyarham ditidurkan pada Khamis lalu akibat kandungan oksigen dalam darah menurun.

"Sejujurnya kami sekeluarga memang masih dalam keadaan terkejut kerana abah tidak pernah sakit teruk sebelum ini melainkan mempunyai penyakit diabetes. Arwah ada mengadu sakit dada minggu lalu dan dia dimasukkan ke hospital untuk menunggu giliran pembedahan pintasan jantung.

"Khamis lalu doktor menghubungi saya memaklumkan keadaan abah tidak stabil dan saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah dan tak sangka itu adalah komunikasi terakhir kami sebelum dia ditidurkan," katanya.

Tambahnya, meskipun terkejut dan sedih, dia sekeluarga bersyukur semua urusan dipermudahkan Allah apatah lagi bapanya meninggal dunia pada hari Jumaat.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Nabil memberitahu kehilangan bapanya turut memberi kesan mendalam buat ibunya yang sudah tujuh tahun menjalani rawatan dialisis akibat sakit buah pinggang.

Pemergian arwah juga membuatkan Nabil sedar bahawa dia perlu lebih banyak menghabiskan masa bersama ibu serta ibu bapa mentua sementara masih ada kesempatan.

"Selama ini ibu saya kuat menjalani dialisis kerana abah kerana baginya abah adalah sumber kekuatan untuknya terus hidup. Siapa sangka abah yang pergi dahulu. Jadi sekarang ini saya perlu berada di sisi ibu untuk beri dia kekuatan.

"Sebelum ini kita hanya melihat orang lain kehilangan ibu bapa dan sekarang saya sendiri merasainya dan membuatkan saya sedar sebagai anak kita perlu meluangkan lebih masa bersama mereka sementara diberi kesempatan," tuturnya.


Berkongsi kenangan bersama arwah, Nabil berkata dia mewarisi bakat menghiburkan orang daripada bapanya yang suka berjenaka dengan anak-anak. Meskipun bapanya seorang yang tegas namun arwah telah menjalankan tanggungjawab dengan baik terhadap mereka adik-beradik sepanjang hayatnya.

"Saya selalu kata bakat melawak ini adalah daripada abah, dia suka membaca kisah-kisah kelakar dan berkongsi kepada anak-anak. Arwah abah seorang yang tegas dan baik hati.

"Dia menjalankan tanggungjawab sebagai seorang bapa dengan baik. Dia juga sangat menjaga kisah peribadi dan tidak suka melepak di kedai kopi selepas pulang kerja dahulu," ujarnya.

Sementara itu, bercakap tentang urusan kerja sebagai penyampai radio dan pengacara program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), kata Nabil dia sudah memohon kerjasama pihak produksi untuk diberi cuti sehingga hujung minggu ini sebelum kembali bertugas.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: