11 October 2022

KELUARGA ARWAH ADIBAH NOOR TERIMA SUMBANGAN RM20,000 DARIPADA WETVASIA



Pada majlis apresiasi filem 'Juang' yang diadakan hari ini, WebTVAsia telah menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada keluarga Allahyarham Adibah Noor atau nama penuhnya Adibah Noor Mohamed Omar.


Sumbangan itu difahamkan adalah hasil kutipan bidaan tujuh edisi terhad reka bentuk Non-Fungible Token (NFT) filem Juang pada tayangan perdananya Ogos lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif WebTVAsia, Fred Chong yang menyampaikan sumbangan itu kepada kakak Allahyarham iaitu Noor Abidah Mohd Omar, berkata, dia gembira dapat berbakti kepada keluarga Adibah Noor. Dia juga sudah lama mengenali Adibah Noor dan masih terasa dengan pemergian penghibur serba boleh itu.

"Lebih 10 tahun kenal Adibah, dia adalah antara orang paling baik saya jumpa. Dia sentiasa menyokong kuat perjuangan kami martabatkan cerita mengenai perpaduan Malaysia.

"Kami memang sentiasa berhubung tapi sejak beberapa tahun kebelakangan sejak sebelum pandemik C0V1D, saya menyesal tak dapat lepak dengannya, terutama pada tahun terakhir sebelum dia meninggal dunia.

"Saya tak dapat ucapkan selamat tinggal kepadanya. Setahun yang lalu, saya ada mesej dia untuk tawarkan projek tapi tidak berbalas. Saya ingatkan dia marah tapi baru dapat tahu dia sakit," katanya.

Untuk makluman, Adibah Noor meninggal dunia pada 18 Jun lalu di sebuah pusat perubatan di Jalan Ampang, di sini, kira-kira jam 6.30 petang akibat kanser ovari tahap empat.

Pada majlis terbabit, WebTVAsia bersama Filmforce Studio dan Asia Tropical Films (ATF) selaku penerbit Juang turut menyumbangkan RM20,000 kepada badan kebajikan bukan kerajaan (NGO) Thrive Well dan The Hope Branch.

Thrive Well menerima RM10,000 yang disampaikan kepada Ketua Pegawai Ekskutifnya, Ellisha Othman. The Hope Branch juga menerima RM10,000 yang disampaikan kepada pengasasnya, Harith Iskander.

Fred berkata, penggunaan teknologi dalam industri kreatif membuka lebih banyak peluang untuk diterokai termasuk sumbangan dan komitmen kepada masyarakat yang memerlukan bantuan.

"Mengambil apresiasi Juang NFT ini sebagai projek perintis pertama, WebTVAsia percaya dan yakin lebih banyak kerjasama dapat diwujudkan. Ia memberi impak lebih besar dan positif, bukan sahaja kepada industri kreatif, tetapi juga untuk menyediakan penjagaan dan bantuan untuk menyokong bagi pencapaian matlamat SDG di Malaysia," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: