"Abah sedih saya bawa dia ke hospital sebab katanya dekat sini tak dapat pergi solat Jumaat, tak dapat solat berjemaah lima waktu di rumah. Dia suka jadi imam lebih-lebih lagi bersama ibu, anak-anak dan cucu-cucunya yang berkumpul di rumah.
"Saya sedih, bukan paksa dia ke sini nak halang buat ibadah tetapi demi memantau tahap kesihatannya. Mungkin dia tahu dia nak pergi? Sejak bulan September dia asyik tanya tarikh dan hari apa.
"Semuanya Allah maha mengetahui," demikian kata pelakon Yana Samsudin yang berkongsi mengenai bapanya, Samsudin Jamuri menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada Jumaat.
Ekoran tahap kesihatan yang menurun, bapa Yana atau nama sebenarnya Norliana Samsudin, 38, dimasukkan ke hospital bagi memantau keadaannya meskipun warga emas itu enggan berbuat demikian.
Klik untuk gambar besar
Yana berkata, bapanya tidak mahu mendapatkan rawatan di hospital kerana tidak mahu terlepas melakukan ibadah berjemaah bersama keluarga di rumah. Namun kata Yana, demi kebaikan bapanya, dia terpaksa juga menghantar bapanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Yana memberitahu sebagai seorang anak dia tidak kuat melihat keadaan bapanya tetapi cuba berlapang dada dengan ujian melanda mereka sekeluarga ketika ini. Menerusi hantaran sama, Yana turut mengharapkan doa daripada pengikutnya agar bapanya diberikan kesembuhan.
"Setiap kali saya sakit atau berasa sedih, jarang sekali saya beritahu orang sebab memang tak suka, tetapi hari ini saya tak kuat, terlalu sedih. Saya cuba menerima kenyataan memohon pertolongan dari Allah dan doa daripada orang ramai, menjaga hati agat sentiasa dalam keredaan-Nya.
"Menyiapkan diri dan persiapkan diri. Anak abah ini tewas. Semoga kami sekeluarga semua kuat, Insya Allah. Terima kasih atas pinjaman setakat ini, segala-galanya Allah. Alhamdulillah.
"Hari Jumaat (semalam) yang berkah ini saya dengan tanpa rasa malu mohon doa kalian, sesiapa yang nampak hantaran ini untuk bapa saya Haji Samsudin Haji Jamuri supaya dipermudahkan segala urusannya dunia akhirat.
"Mohon ampun jika ada kesalahan yang pernah dibuat sama ada sengaja atau pun tidak sengaja. Saya sedar dalam dunia ini semua pinjaman Allah, sampai masa bila-bila Allah boleh ambil semula," tuturnya.
________________________
No comments:
Post a Comment