10 November 2022

ISU KONFLIK & TUNTUT PENJAGAAN ANAK - ADAM SHAHZ SEDIA BERSEMUKA DENGAN FATIN AFEEFA UNTUK SELESAIKANNYA



"Sekarang ini nombor telefon saya sudah disekat dan sukar untuk berjumpa. Tetapi jika dia (Fatin) mahu bersemuka dan berbincang untuk selesaikan semua masalah saya amat terbuka. Segala keputusan perbincangan itu nanti haruslah berakhir di mahkamah. Saya sudah serik dengan janji selama ini.


"Selepas lima tahun berpisah asyik cakap mulut sahaja dan beginilah jadinya," itulah kata pelakon Adam Shahz yng memberitahu dia bersedia untuk bersemuka dengan bekas isterinya iaitu Fatin Afeefa, kerana enggan memanjangkan kemelut yang melanda.

Adam atau nama sebenarnya Nor Shah Azli Abdol Ghani, 41, bagaimanapun berkata segala keputusan hasil perbincangan itu kelak haruslah dimeterai di mahkamah.

Baru-baru ini, kontroversi membabitkan Adam dan Fatin kembali menjadi bualan ramai apabila kedua-duanya dilihat berbalas kenyataan di laman sosial masing-masing.

Fatin menerusi beberapa perkongsian mendakwa Adam gagal membayar tuntutan nafkah bulanan seperti yang telah ditetapkan selepas mereka bercerai pada 30 Mei 2017.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, Adam pula menafikan perkara tersebut dan memberitahu dia sudah lama tidak berjumpa dengan anak mereka kerana dihalang oleh Fatin.

"Saya tidak dapat menghubungi anak dan tak tahu bagaimana keadaan dia sekarang. Kalau saya serang atau terjah begitu sahaja takut nanti dikatakan menceroboh pula.

"Pastinya saya akan bawa hal ini ke mahkamah dan menuntut hak penjagaan anak. Saya mahu pertahankan hak saya dan bukan sekadar timbulkan provokasi," ujarnya.

Mengetahui banyak kenyataan yang dikeluarkan oleh Fatin menerusi penceritaan orang sekeliling, Adam tidak dapat mengelak apabila sering dijadikan bahan kecaman netizen.


Pelakon drama 'Juvana' ini enggan melatah dengan kritikan tersebut, selain berharap Fatin tidak lagi membuka kisah lama mereka.

"Bila keadaan jadi begini, apa yang tidak best ialah saya sering jadi bahan kecaman. Biasalah... lelaki akan sering dipersalahkan. Orang ramai tidak tahu apa yang berlaku antara kami.

"Kalau melenting nanti, lagilah nampak saya yang salah. Sedangkan dia yang timbulkan cerita tentang nafkah dan tidak beri saya jumpa anak," jelasnya.

Untuk makluman, Adam dan Fatin mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2013 dan mereka mempunyai seorang anak perempuan iaitu Ivy Herra Sophia yang kini berusia 7 tahun.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: