28 June 2023

AIDILADHA TAHUN INI PALING BERMAKNA - AWIE MENANTI DETIK BERTEMU DUA ANAK SELEPAS 8 TAHUN BERPISAH



"Ini mungkin jadi Aidiladha yang bermakna untuk tahun ini. Kalau ikut dari perjanjiannya begitulah, raya haji (Aidiladha). Saya sangat teruja menunggu tarikh ini. Harap-harap dapatlah."
Demikian ujar penyanyi Datuk Awie yang meluahkan rasa teruja apabila dia mungkin dapat bertemu dua anaknya, Putra Ahmad Rezzki, 15; dan Puteri Qasseh Antasha, 13, yang sudah lapan tahun terpisah selepas di bawah jagaan bekas isterinya, Rozana Misbun.

Amat menantikan detik untuk bertemu dua anaknya itu, Awie berkata, dia tidak mempunyai rancangan untuk membawa mereka ke mana-mana kerana mesej yang dihantar setakat ini belum berjawab.

"Tunggu dapat balasan dulu daripada pihak dia. Kalau dapat balasan, kalau dia kata nak keluar, saya bawalah keluar. Kalau tidak, datang sehari pun tak apa. Tengok setengah hari pun tak apa. Saya nak tahu apa mereka nak tapi belum diberitahu lagi," katanya.

Tambah Awie, sepanjang lapan tahun ini, dia tidak dapat berhubung terus dengan dua anaknya itu.

"Qasseh ada mesej saya ketika saya di Makkah, Ramadan lalu. Saya berdoa, tiba-tiba saya balik anak saya mesej saya. Ya Allah, masa itu berderai air mata keluar. Rajin juga dia mesej dan selepas itu mungkin dia tak dapat mesej saya.

"Baru-baru ini dia menghantar mesej kemungkinan Aidiladha ini dia nak jumpa. Dia sendiri yang nak jumpa saya sebab dia yang dapat mesej saya. Saya tak boleh mesej dia kerana bila saya mesej tak tahu dapat jawapan atau tidak. Saya tak tahu nombor pun," jelasnya yang turut memaklumkan tidak tahu mereka tinggal di mana.

"Dia bagi salam dan beritahu itu dia, Qasseh. Dia rindukan saya, sayangkan saya sangat-sangat. Adalah macam-macam lagi. Saya tak boleh cakap lagi," tutur Awie yang kelihatan sebak selepas menerima ucapan daripada mereka dimana ia amat menyentuh perasaannya.

Untuk makluman, Awie turut dikurniakan seorang lagi anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 16, menerusi perkahwinan dengan Rozana pada 20 Jun 2005. Mereka bercerai pada 1 November 2014 dan Merrah kini tinggal bersama Awie.

Dalam pada itu, Awie juga memiliki dua anak hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi, Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha, 23; dan Putri Aleefa Antasha, 21, sebelum bercerai.

Awie kemudian berkahwin dengan Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin pada 7 Oktober 2016 dan dikurnikan seorang anak lelaki pada 2020.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: