04 July 2023

AKHIRNYA SHUIB BERSEMUKA DENGAN PEMFITNAH - NEKAD AMBIL TINDAKAN TERHADAP SEORANG LAGI INDIVIDU



"Sejak bercakap di telefon semalam (Isnin), saya juga sudah berlembut hati. Hari ini Zulhairi tampil dan memohon maaf. Saya maafkan dia. Saya tahu dia seorang yang beradab kerana berani datang hari ini.
"Mungkin silap kerana berkongsi di media sosial sebelum ini," kata pelawak dan penyampai radio, Shuib selepas bersemuka dan bertentang mata dengan pemfitnah yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya dan arwah isteri, Siti Sarah di media sosial, baru-baru ini.

Dalam pertemuan yang berlangsung di kafe Bubblee Bee, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa, Shuib telah terbuka hati memaafkan individu bernama Zulhairi Abu Othman, 35, selain turut mengingatkan Zulhairi supaya tidak lagi menyebarkan fitnah tentang dirinya dan keluarga.

Klik untuk gambar besar
Kedua-dua mereka juga dilihat berpelukan sebelum Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 39, sendiri memohon maaf sekiranya sesi yang berlangsung bakal mengundang masalah lain buat Zulhairi.

Dalam pada itu, Shuib memberitahu, dia sedang mengesan seorang lagi pengguna media sosial bernama John Dihani kerana telah menyebarkan fitnah tentang kematian isterinya itu.
Dengan nada tegas, bapa kepada empat cahaya itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan sebagai pengajaran agar perkara sama tidak berulang lagi.

"Anak saya mula bertanya mengenaI kematian ibu mereka, itu yang saya rasa melampau. Saya tak tahu nak jawab apa dekat mereka. Mereka lurus... apa yang mereka nampak dan dengar itulah yang akan mereka cakap. Dituduh ahli Freemason saya tak layan tapi bila saya baca lagi ada sebut nama arwah Siti Sarah buatkan saya tak boleh diamkan diri lagi. Dia tuduh saya bunuh isteri saya.
"Biarlah peguam saya yang pergi berjumpa dia dahulu. Saya sudah bincang perkara ini boleh ambil tindakan dan saya akan saman sebagai satu bentuk pengajaran. Perkara ini nampak mudah tetapi ia melibatkan kematian isterinya.

"Tuduhan itu seolah-olah saya membunuh isteri sendiri. Kalau betul sila bersemuka dengan bukti. Saya tegas dengan pendirian ini sebab saya tahu apa yang dikatakan semua tidak betul," ujarnya.
Pada Isnin lalu, Shuib berkongsi dua paparan pengguna media sosial yang menyebarkan fitnah kononnya dia terlibat dengan dengan ikutan Freemason. Dua individu itu juga menyebut, Shuib sengaja membuat perancangan dengan pihak hospital sehingga menyebabkan kematian Siti Sarah.

"Perkara ini boleh menimbulkan keraguan. Sebab saya sendiri yang melihat arwah meninggal dunia, saya yang mengangkat jenazah. Jadi penyebaran berita boleh timbulkan salah faham. Kalau ada bukti jom kita ke hospital untuk bercakap," tegasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai foto tular memaparkan dirinya bersama isteri, Watie Hanafiah dimana mereka menutup sebelah mata semasa mempromosikan barang kemas, Shuib menjelaskan aksi tersebut dilakukan secara spontan dan tidak menyedari akan menghangatkan lagi fitnah terhadap dirinya.

"Gambar tutup sebelah mata itu memang khilaf saya, masa itu photoshoot dan jurugambar minta saya tunjuk cincin. Saya tutup tanpa prejudis. Saya tak fikir pun, simbol apa saya tak tahu sebab saya bukan ahli Freemason," jelasnya.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: