19 September 2023

TERIMA SUMBANGAN MELALUI WAKIL PERDANA MENTERI - ZAITON SAMEON AKUI MALU NAK MINTA BANTUAN



"Saya sebenarnya malu nak minta bantuan, tapi kalau terus berdiam diri mana orang tahu dan akan datang membantu saya. Jadi, sekarang saya memang perlukan bantuan dan syukur ramai juga yang membantu.
"Kalau boleh, saya inginkan tawaran menyanyi. Tapi, dengan keadaan saya yang begini, ramai orang (penganjur) berasa tidak yakin untuk memberikan saya tawaran menyanyi walaupun saya sebenarnya masih boleh menyanyi.

"Bayaran pula, saya hanya dibayar antara RM1,000 hingga RM1,500 untuk tiga buah lagu. Kebanyakannya tidak mahu bayar lebih mungkin kerana kurangnya keyakinan pada vokal saya."

Demikian kata penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon, 67, yang mengaku dia malu untuk tampil meminta bantuan, namun memikirkan keadaan kehidupannya yang menumpang dengan anak angkat, Che Sikah Ismail atau Ika, 47, hampir 13 tahun, ia menjadi ikhtiar terakhir.

Ketika ditemui, Zaiton berkata, tawaran menyanyi pun jarang diterimanya dan bayaran juga sedikit yang membuatkan dia berhadapan kesusahan dan memerlukan bantuan bulanan.

Jelas Zaiton, sebagai orang yang menumpang di rumah anak angkatnya, dia tidak mahulah menyusahkan dan berasa wajar untuk bersama-sama membantu terutama membayar sewa rumah, RM1,000 sebulan.

"Saya pun sekarang tidak berapa sihat akibat kecederaan kaki ketika jatuh di dalam lif selepas membuat persembahan di stesen radio. Walaupun boleh berjalan perlahan tapi, buku lali masih bengkak lagi.

"Jadi, saya juga memerlukan kos rawatan dan perubatan untuk diri sendiri. Atas sebab itu, bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) amat diperlukan berikutan kos sara hidup sekarang pun tinggi," tuturnya.

Klik untuk gambar besar
Baru-baru ini, kesusahan dialimi Zaiton telah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghantar wakilnya iaitu Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi untuk melawat serta menyampaikan bantuan.

Kata Ahmad Farhan, pada lawatan berkenaan, pihak Perdana Menteri menyumbangkan bantuan ikhlas berupa wang tunai kepada Zaiton dan bakul makanan sebagai tanda prihatin kepada kesempitan hidup penyanyi lagu 'Menaruh Harapan' itu.

"Di samping itu, difahamkan juga pihak JKM kini sedang mengusahakan bantuan bulanan kepada Zaiton sebagaimana yang diluahkannya kepada media, baru-baru ini.

"Semoga dengan sedikit bantuan yang sudah disampaikan ini, saya harap dapatlah mengurangkan ujian yang dipikul oleh Zaiton dalam meneruskan kelangsungan kehidupannya," ujarnya.

Hadir sama dengan Ahmad Farhan di kediaman Zaiton Sameon ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Pejabat Perdana Menteri, Khairy Maamor, wakil Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor dan wakil JKM Hulu Langat.

Pada Ahad lalu, Zaiton memaklumkan dia amat memerlukan bantuan kewangan bulanan daripada JKM untuk mengurangkan bebanan kos sara hidupnya.

Bagaimanapun, jelas Zaiton, dia berhadapan masalah apabila tidak tahu bagaimana prosedurnya untuk mengisi borang permohonan bantuan dan berharap pihak JKM dapat membantu.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: