05 October 2023

IBNOR RIZA PUNYAI TEMPOH 6 BULAN UNTUK HIDUP - AZNIL HARAP TABUNG BANTUAN CAPAI SASARAN DALAM WAKTU TERDEKAT



"Saya tak boleh duduk diam dan tak nak menyesal di kemudian hari. Saya perlu pastikan misi bantuan ini dapat meringankan beban Ibnor untuk melakukan rawatan kimoterapi secepat mungkin."
Itulah kata pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi yang berharap tabung bantuan yang dilancarkan untuk penyanyi Ibnor Riza bagi merawat penyakit kanser limfoma tahap empat mencapai sasaran dalam waktu terdekat.

Jelas Aznil, doktor Ibnor sebelum ini ada memaklumkan, penyanyi yang terkenal menerusi lagu 'Mimpi Yang Tak Sudah' itu hanya mempunyai tempoh enam bulan hidup, sekiranya rawatan susulan tidak dilakukan.

"Alhamdulillah sejak tabung bantuan dilancarkan pada Isnin lalu saya melihat peningkatan jumlah derma yang dihulurkan oleh rakyat Malaysia walaupun perlahan.

Klik untuk gambar besar
"Bagaimanapun jumlahnya masih jauh daripada target perubatan yang diperlukannya," tutur Aznil yang turut berterima kasih kepada rakan-rakan media kerana turut membantu dalam meringankan beban penyanyi itu.

"Walaupun tempoh yang doktor anggarkan untuk Ibnor hidup tidak lama, tapi kita tidak boleh berputus asa. Saya perlu melakukan pelbagai usaha lain termasuk di platform media sosial agar peminat Ibnor dan pengikut saya dapat membantu.

"Saya harap dan berdoa anggaran doktor itu bertukar kepada kesembuhan kekal. Sekarang ini saya aktif memuat naik video nyanyian Ibnor untuk orang luar melihat keadaan terkininya yang masih bekerja walaupun tahap kesihatannya tidak mengizinkan," ujarnya.
Terdahulu, Ibnor yang disahkan menghidap kanser pada Februari lalu itu memberitahu, doktor memaklumkan dia hanya mempunyai kira-kira enam bulan sahaja untuk hidup.

Bapa kepada dua cahaya mata berusia antara 13 dan 32 tahun itu baru memulakan rawatan kemoterapi di sebuah hospital swasta, dimana ia memerlukan kira-kira RM32,000 untuk dua pusingan kemoterapi.

Difahamkan, Ibnor perlu menjalani tiga lagi rawatan kemoterapi yang dianggarkan bernilai RM200,000, sekiranya rawatan tidak berjaya.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: