20 December 2023

KEPUTUSAN JKP 5 MAC DEPAN - DATUK RED MASIH SAYANGKAN ADIRA, TETAP MAHU PERTAHANKAN PERKAHWINAN



"Anak guamnya saya masih lagi mahu mengekalkan hubungan suami isteri. Dia sayangkan isterinya. Dia mahu pertahankan rumah tangga. Tiada pihak yang mahu bercerai."
Itulah kata Muhammad Akmal Amzan, peguam syarie suami kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu Datuk Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.

Tegas peguam syarie ini, anak guamnya masih menyayangi isterinya, dek kerana itu, anak guamnya tetap mahu mempertahankan rumah tangga mereka, meskipun kini sedang dalam proses perceraian.

Difahamkan, Datuk Red, 42, kini sudah melantik seorang rakan baik sebagai wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Terdahulu, Adira menamakan kakaknya, Emma Suhaimi dalam proses itu manakala Datuk Red gagal menampilkan sebarang wakil ketika itu.

Ketika proses lantikan JKP yang berlangsung di hadapan Hakim Syarie Abdul Hadi Omar pagi tadi, pasangan ini bagaimanapun tidak hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, Selangor.

Dalam pada itu, peguam syarie yang mewakili Datuk Red selaku defendan menyatakan ingin mengambil masa selama enam bulan bagi proses JKP itu.

Namun peguam syarie,.Nor Saidah Zakaria yang mewakil Adira membantah dan tidak bersetuju dengan tarikh yang panjang tersebut.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Syarie kemudian menetapkan 5 Mac tahun depan bagi kedua-dua pihak mengemukakan laporan JKP masing-masing.

"Tiada masalah sekiranya pihak plaintif dan defendan mahu berbincang kerana mereka masih bergelar suami isteri. Jika ada usaha untuk kembali semula, itu lebih baik dan mahkamah meraikannya," kata hakim syarie tersebut.

Sementara itu, Akmal turut menegaskan anak guamnya juga tidak pernah berniat untuk melengahkan prosiding mahkamah yang berlangsung sebelum ini.

Dalam prosiding yang berlangsung pada 4 Disember lalu, hakim menegur Datuk Red kerana masih belum melantik mana-mana wakil JKP dan dianggap sengaja melengah-lengahkan proses berkenaan

Pada 25 Oktober lalu, Adira atau nama penuhnya, Siti Adira Suhaimi, 32, memfailkan perceraian terhadap suaminya itu atas alasan tiada lagi persefahaman.

Permohonan tersebut adalah kali kedua dibuat terhadap suaminya selepas memfailkan tuntutan sama pada 1 April 2019.

Untuk makluman, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: