21 December 2023
ISMA ALIFF SUDAH SEDAR DARIPADA TIDUR - BERI RESPON MELALUI MATA & PERGERAKAN JARI TANGAN
"Sekarang, abang masih lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan, tapi, dia dah dalam keadaan sedar. Dia dah boleh buka mata dan respon melalui mata dan gerakan jari tangannya. Cumanya, belum boleh bercakap.
"Setakat ini, doktor masih lagi nak pantau keadaannya. Insya-Allah, dalam dua ke tiga hari lagi, kalau dia dah dapat bernafas sendiri, tak perlu lagi gunakan alat bantuan pernafasan."
Itulah jelas adik kepada artis versatil era 1980-an, Isma Aliff, 59, iaitu Shamsidah Ismail, 57, yang memaklumkan, abangnya sudah sedar daripada ditidurkan dan dapat memberi respon melalui mata serta pergerakan jari tangan.
Bagaimanapun, kata Shamsidah, Isma atau nama sebenarnya Muhammad Latiff Ismail masih perlu dipantau di hospital memandangkan dia masih lagi perlu bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Isma yang dirawat di sebuah hospital di Ampang sejak Jumaat lalu itu sepatutnya dibenarkan pulang ke rumah pada Ahad, namun tahap oksigennya masih lagi tidak stabil dan turun secara tiba-tiba.
"Ahad lalu, jururawat bertanya sama ada, kalau abang dibenarkan pulang, ada sesiapa yang akan menjaganya atau bagaimana.
"Saya maklumkan, rumah saya tak jauh dengan rumah abang dan ibu, jadi saya boleh bantu jaga abang. Memang perancangan semuanya dah dipersiapkan untuk menyambut kepulangan abang.
"Tapi, nak dijadikan cerita, pada Ahad malam, tahap oksigennya mula menurun dan doktor maklumkan, ada jangkitan kuman dalam paru-paru serta jantungnya bengkak.
"Itu adalah kesan daripada angin ahmar yang menyerangnya. Apa pun, Alhamdulillah sebab saya nampak keadaan abang semakin menunjukkan kemajuan," tuturnya.
Terdahulu, Isma diserang kebas di bahagian kaki dan tangan ketika sedang menguruskan ibunya yang terlantar di rumah.
Shamsidah kemudiannya membawa abangnya ke klinik, sebelum dinasihatkan untuk terus ke unit kecemasan hospital.
"Abang diserang angin ahmar ketika berada di rumah, saat sedang menguruskan ibu kami yang memang terlantar di katil. Tiba-tiba, kepalanya macam 'melayang', seterusnya tangan kakinya mula kebas.
"Bila saya bawa ke klinik, doktor maklumkan bahawa tekanan darahnya naik sehingga ke angka 240 dan perlu dibawa ke hospital," katanya.
Untuk makluman, Isma popular menerusi beberapa karya sekitar tahun 1980-an. Antara filem yang pernah dibintanginya adalah 'Marah-Marah Sayang', 'Jaket Biru', 'Sayang Ibu' dan banyak lagi.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment