17 December 2023
MASIH KRITIKAL - ISTERI MOHON DOAKAN KESEMBUHAN IBNOR RIZA
"Saya minta maaf tak boleh nak bercakap panjang. Abang Ibnor masih dalam keadaan kritikal dan masih ditidurkan. Mohon doakan kesembuhannya dan semoga abang Ibnor cepat sedar dan beransur pulih."
Demikian jelas isteri kepada penyanyi popular era 1980-an, Ibnor Riza iaitu Sarimah Suleiman yang memohon orang ramai mendoakan kesembuhan suaminya.
Sarimah bagaimanapun tidak dapat berkongsi lebih lanjut mengenai perkembangan suaminya yang menghidap kanser limfoma tahap empat.
Difahamkan, Ibnor yang kini menerima rawatan di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), di sini, itu masih berada dalam keadaan kritikal.
Sebelum ini, penyanyi Azura Aziz meminta orang ramai terus mendoakan kesihatan Ibnor yang dilaporkan kritikal selepas menjalani satu pembedahan di kepala, baru-baru ini.
"Assalamualaikum semua. Buat makluman, sahabat seni kita Ibnor Riza kini sedang dalam keadaan kritikal.
"Apa-apa pun mari kita doakan semoga beliau diringankan sakit dan dipermudahkan segala-galanya.
"Semoga sentiasa dalam rahmat Allah," tulis mesej yang disebarkan kepada umum semalam.
Terdahulu, penyanyi 'Meneka Dalam Kesamaran' itu masih tidak sedarkan diri sejak menjalani pembedahan mengeluarkan air dalam kepalanya pada 2 Disember lalu.
Pada 10 November lalu, Ibnor turut menjalani kimoterapi R-ICE di hospital sama. Dalam pada itu, Ibnor juga mengalami demam yang berpanjangan selepas rawatan.
Ibnor yang disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu itu sehingga kini difahamkan sudah melakukan kemoterapi sebanyak sembilan kali.
Sejak disahkan sakit, penyanyi berusia 62 tahun itu membelanjakan sekitar RM80,000 bagi kos perubatan dengan menggunakan kesemua wang simpanan selain menjual tiga buah kereta miliknya.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment