02 January 2024
ISTERI KATA HAMDAN SENARIO TIDAK MAHU KE HOSPITAL, MINTA TIDAK DITIDURKAN KERANA MAHU BERTEMU PEMINAT
"Dia (Hamdan) tidak mahu ke hospital dan meminta supaya tidak ditidurkan kerana mahu meneruskan persembahan sempena ulang tahun ke-27 Senario, dia mahu bertemu peminat.
"Dia sangat teruja, tiada tanda-tanda sakit, jadi kami mohon peminat mendoakannya supaya cepat sembuh," itulah tutur isteri kepada pelawak dan anggota Senario, Hamdan Ramli iaitu Norhamalini Ahmed.
Jelas Norhamalini, 53, mereka sekeluarga terpaksa memujuk suaminya itu untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana kesihatannya merosot sebaik tiba di sini, baru-baru ini.
Ini kerana kata isterinya, biarpun sakit, Hamdan, 54, sangat teruja dan bersemangat untuk beraksi bersama anggota Senario yang lain pada persembahan Wonderful Night with Senariounion di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.
Akui Norhamalini lagi, Hamdan menghidap penyakit kencing manis, namun sebelum ke sini, suaminya dalam keadaan baik dan tiada masalah kesihatan.
"Selepas balik makan malam dengan anggota Senario kelmarin, dia demam dan suami beranggapan mungkin sebab perjalanan jauh. Jadi dia makan panadol.
"Dalam 12 tengah malam suami alami cirit birit, saya fikir akibat eracunan makanan tetapi ia berlarutan hingga pagi (sebelum dihantar ke HSA)," ujarnya.
Dalam pada itu, anak bongsu Hamdan, Nur Natasya Umairah, 21, memberitahu, doktor mengesyaki bapanya mengalami masalah kegagalan buah pinggang.
"Pemeriksaan awal mendapati tekanan darah ayah stabil dan diletakkan di zon hijau terlebih dahulu, tetapi pemeriksaan lanjut mendapati keadaan ayah kritikal dan perlu ditidurkan," jelasnya.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment