20 September 2024

TERIMA TAWARAN BERLAKON KERANA BETO KUSYAIRY - YAYAN RUHIAN UTAMAKAN PERSAHABATAN BERBANDING BAYARAN TINGGI



Walaupun jadual kerja sudah padat dengan pelbagai aktiviti seni, pelakon aksi Indonesia bertaraf antarabangsa, Yayan Ruhian, 56, selalu bersedia menerima tawaran berlakon filem di Malaysia terutama sahabatnya, pelakon Beto Kusyairy, 44.
Yayan yang pernah berlakon filem Hollywood iaitu 'Star Wars : The Force Awakens' dan 'Beyond Skyline' itu berkata, jika permintaan berlakon itu datangnya daripada Beto, ia tidak akan ditolak begitu saja.

"Saya akui menerima tawaran berlakon filem terbaru, 'Gayong' ini kerana Beto. Ketika diberitahu oleh pengurus saya, Beto hubungi untuk tawaran berlakon, saya terus katakan kepadanya (pengurus) supaya terima saja.

Klik untuk gambar besar
"Tanpa melihat skrip filemnya seperti apa, tapi saya bersetuju kerana Beto yang mengajaknya. Saya selesa bekerja dengan Beto dan hubungan kita juga rapat bukan sekadar persahabatan semata-mata," tuturnya.

Jelas Yayan, 'Gayong' adalah filem Malaysia keenam lakonannya dan tawaran bekerja di negara ini dibuat bukan kerana untuk mendapat bayaran tinggi.

"Semua orang kalau bekerja, memang untuk mencari pendapatan. Tapi, tidak semuanya boleh kita dapatkan dengan wang, terutama persahabatan yang baik dan rapat sesama kita.
"Mungkin kita boleh dapatkan bayaran tinggi, kalau saya memang mengejar bayaran. Saya juga tidak perlu kerja di sini (berlakon di Malaysia), sebab saya boleh ambil saja kerja di luar (negara lain).

"Tetapi, itulah saya sangat selesa dengan Beto kerana ada perkara yang lebih besar daripada wang iaitu persahabatan dan persaudaraan," ujar Yayan yang berkata, persahabatan dan persaudaraan itu adalah suatu ikatan yang mempunyai nilai lebih tinggi daripada wang.
Filem epik 'Gayong' arahan Faisal Ishak dan terbitan Sol Pictures mengangkat kisah pengasas Silat Seni Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman yang dijangka bajet pembikinan kira-kira RM7 juta.

Selain Yayan dan Beto, filem ini turut menampilkan lakonan Nabila Huda, Syafie Naswip dan ramai lagi dimana penggambarannya bermula pada 5 Oktober depan.

Terdahulu, Yayan yang juga seorang koreografer silat terkenal itu pernah berlakon dengan Beto dalam filem 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan' arahan Syamsul Yusof pada 2022 yang mencatat kutipan 'box office', RM100 juta di Malaysia.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: