21 October 2024

FAMILY DUO 4 : TOMOK & SHARUL KAMAL MENANG MINGGU PERTAMA - JOEY DAUD TERNYATA PASANGAN NAQIU



Program realiti nyanyian iaitu Famili Duo yang kini memasuki musim keempat (FD4), telah pun berlangsung malam semalam dimana ia menyaksikan pasangan sepupu, Tomok dan Sharul Kamal diumumkan sebagai pemenang Duo Terbaik pada konsert minggu pertama.

Dalam konsert terbabit, Tomok dan Sharul berjaya memukau penonton dan juri dengan lagu 'Aku Penghiburmu' nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah dan 'Gerhana' (Datuk M Nasir), sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000.

Tomok dan Sharul (sepupu) mengumpul markah 64.5 peratus, sementara gandingan Naqiu dan Joey Daud pula 59 peratus, Ayie Elham dan Salman Asis (sepupu), 48.3 peratus; Shiha Zikir dan Ieda Zikir (adik-beradik), 46.9 peratus; Zahid dan Anne (adik-beradik), 35.8 peratus; Didi Astillah dan Thamiera (sepupu) hanya 31.5 peratus.

Hasil dari kemenangan itu, Tomok dan Sharul memilih tema Irama Malaysia untuk dipersembahkan setiap peserta pada konsert minggu kedua, Ahad depan.

Klik untuk gambar besar

Pemenang mingguan akan ditentukan oleh juri dengan pemarkahan sebanyak 70 peratus dan undian atas talian melalui Tonton (30 peratus).

Family Duo 4 menampilkan artis serba boleh, Janna Nick dan Sharif Zero sebagai pengacara sementara juri profesional menampilkan gandingan Mas Idayu dan Datuk Rosyam Nor.

Dalam pada itu, pasangan kepada Naqiu sebelum ini dirahsiakan pihak produksi bagi memberi kejutan sehingga ia didedahkan pada konsert pertama Family Duo 4 malam semalam.
Ternyata, artis serba boleh iaitu Joey Daud diumum sebagai pasangan Naqiu dimana dia membuat kemunculan bersama Naqiu dengan persembahan lagu 'Akhirnya Kini Pasti' nyanyian asal Anita Sarawak dan Sinaran (Sheila Majid).

Penyertaan Joey atau nama sebenar, Zulkifli Daud yang pernah menjadi vokalis Exists antara 2008 hingga 2014 itu bakal memberi cabaran kepada lima pasangan yang sudah diumumkan di TV3 dalam sidang media sebelum ini.

Pendedahan identiti pasangan Naqiu itu menjawab persoalan ramai, sekali gus mengundang sorakan gemuruh peminat.
Joey bukanlah asing dalam industri hiburan tanah air, malah berpengalaman luas bidang dunia muzik apabila pernah bernaung di bawah syarikat rakaman milik maestro muzik, Datuk M Nasir iaitu Luncai Emas Sdn Bhd.

Di bawah Luncai Emas, Joey turut aktif dalam industri lakonan sejak awal 2000 dan sempat menghasilkan dua album iaitu 'Beradu Suratan' pada 1994 dan 'Joey' (1996).

Sementara itu, konsert minggu pertama Family Duo 4 dik£jutkan dengan pengunduran Yazmin Aziz yang sepatutnya bergandingan bersama Didi Astillah sebagai pasangan sepupu. Kekosongan itu diisi oleh anak buah Stacy iaitu anggota kumpulan The Gadys, Thamiera.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: