24 November 2024
"USAHA INI (MENYANYI 'LIVE' DI TIKT0K) BANTU UNTUK BELI IKAN ATAU LAMPIN PAKAI BUANG... LEPASLAH" - SHIMA BERSYUKUR TERIMA SUMBANGAN
"Saya cari rezeki di TikTok. Saya menyanyi secara 'live' malam-malam... Alhamdulillah, ada rezeki di platform itu. Adakalanya saya akui usaha ini membantu. Namun, sebagai penyanyi, kadang-kadang kita sihat dan ada kala kita sakit... Itu perkara biasa. Jadi, apabila sakit, tak dapat nak buat (siaran langsung TikTok). Apabila sihat, Alhamdulillah. saya boleh menyanyi."
Itulah jelas penyanyi yang popular dengan lagu 'Teringin' iaitu Shima, 55, dimana dia mengakui aktif membuat siaran langsung di TikTok bagi menampung perbelanjaan harian, selain turut berterima kasih kepada pengikut yang sudi mendengar nyanyiannya di platform itu, malah ada yang bermurah hati menghulurkan ganjaran.
Seronok melihat ramai rakan seperjuangan turut aktif di TikTok, Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, berkata, pendapatannya bergantung kepada yang memberi sedekah.
"Secara jujurnya, saya buat 'live' macam kerja saya. Saya hiburkan orang, ada masanya saya buat setiap malam. Bukanlah kaya pun kerana saya hanya menyanyi dan tidak jual pr0duk. Tetapi usaha ini membantu untuk beli ikan atau lampin pakai buang... Lepaslah.
"Ramai rakan artis buat 'live' di TikTok... Safura pun ada. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada platform buat kami," katanya yang mengakui sudah lama tidak mendapat undangan nyanyian, sebaliknya hanya 'ditaburi' cakap-cakap kosong pihak tidak bertanggungjawab.
"Saya tidak pernah dapat tawaran. Ada yang telefon dan hantar mesej di TikTok dan WhatsApp, namun, sekadar cakap kosong. Mungkin orang itu hanya mahu berbual dengannya sahaja... Itulah yang selalu saya dapat.
"Apabila orang buat begitu, memang saya tak suka. Jangan buat orang macam itu. Jangan beri orang harapan dengan cara begitu," ujarnya yang meluahkan rasa syukur menerima sumbangan dimana ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan tanggungannya.
Bantuan yang diterima Shima itu menerusi satu majlis Sumbangsih Prihatin anjuran Yayasan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karwawan) di sebuah hotel di sini, petang semalam.
"Alhamdulillah diucapkan kepada Pekema dan Karyawan yang berkongsi rezeki dengan kami semua yang s@kit dan tidak boleh bekerja. Saya ada penyakit paru-paru dan 'slipped disc'. Sudah 10 tahun tak boleh buat kerja berat dan pundi kencing saya lemah.
"Saya sentiasa pakai 'pampers', itu semua perlukan duit. Jadi, syukur dapat sumbangan. Ini sangat membantu saya. Saya nampak sihat, tapi sebenarnya, sakit," tutur Shima yang turut memberitahu, doktor melarangnya melakukan kerja berat.
"Saya berhenti berniaga sejak 2019 disebabkan masalah kesihatan. Doktor sarankan saya buat pembedahan, tetapi, saya tidak mahu," maklumnya yang pernah membuka Warung Teringin pada 2018, menjual masakan nasi berlauk, namun perniagaan itu terpaksa ditutup setahun kemudian akibat 'slipped disc' yang dideritai sejak 2013 dan masalah pundi kencing.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment