22 November 2024
ZAMARUL HISHAM & DIANA RAFAR SIMPATI DENGAN HARUN HASHIM, SIFATKAN ARWAH ISTERINYA TERLALU BAIK
Semua sedia maklum mengenai pelakon veteran Harun Hashim yang telah kehilangan isteri tercintanya, Sakinah Ganjali yang menghembuskan nafas terakhir semalam.
Berhubung pemergian itu, pelakon Zamarul Hisham dan isterinya, Diana Rafar turut berasa bersimpati dengan Harun serta merakamkan kesedihan terhadap pemergian isterinya.
Kata Zamarul, mereka mengenali arwah isteri Harun itu sejak 2019 dan menyifatkannya seorang yang terlalu baik.
"Ketika itu saya dah lama tak berjumpa abang Harun dan mencarinya. Tiba-tiba dia dan Sakinah datang ke gerai kami di Laman Glenmarie, Shah Alam. Dari situlah kami diperkenalkan dengan Sakinah.
"Cadangnya kami nak suruh arwah berniaga di situ kerana dia pandai masak. Tapi jiwa mereka ke arah lain iaitu nak tinggal dalam suasana kampung dan berniaga di gerai. Jadi kami tak dapat halang.
"Tapi hubungan kami sangat rapat dan kadangkala kalau tiada penggambaran mereka akan datang rumah. Memang rapatlah," tuturnya yang memberitahu, keakraban mereka terjadi kerana Harun rapat dengan abang ipar Diana yang juga pengarah, Hamid Gani.
Klik untuk gambar besar
"Hubungan mereka macam adik-beradik dan tempias juga kena pada kami. Mereka pun pasangan yang sangat baik dengan semua orang. Berkenaan kehidupan mereka, saya anggap abang Harun sangat bertuah kerana kita tahu setiap orang masing-masing ada zaman kej@tuhannya.
"Ketika inilah arwah hadir, jaga dan menyokong dia sampailah dia boleh bangkit semula. Malah penampilannya terjaga nampak kacak dan kemas," ujar Zamarul yang juga berkata, Sakinah seorang yang ceria dan sering berada di sisi suaminya setiap masa.
"Dia yang tolong ambil gambar abang Harun, saya dan semua orang. Bab memasak jangan cakaplah kerana sekejap-sekejap datang bawa makan, kerepek dan apa yang dibuat akan dibawa sama untuk kami rasa.
"Seperkara lagi, saya tak pernah nampak dia mengeluh dan itu yang saya hormat. Apapun Allah sayangkannya dan semoga dia ditempatkan dalam kalangan mereka yang dirahmati Allah," katanya.
Terdahulu, Sakinah meninggal dunia pada usia 48 tahun di Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam jam 9.45 pagi semalam akibat kanser payudara tahap empat.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment