16 February 2025

MAS ANIZAN KINI BERGELAR NENEK - ANAK SULUNG SELAMAT LAHIRNYA BAYI LELAKI



Tahniah diucapkan kepada pelakon Mas Anizan, 52, apabila dia kini sudah bergelar nenek apabila anak sulungnya, Mas Aliza Ali, 30, selamat melahirkan anak pertamanya yang merupakan bayi lelaki pada jam 11.53 pagi, semalam.
Kata Mas Anizan, bayi lelaki itu dilahirkan secara normal dengan berat 3.28 kilogram di sebuah pusat perubatan, di sini.

"Alhamdulillah, syukur di atas anugerah-Nya. Saya rasa sangat teruja dan gembira sangat-sangat di atas kelahiran cucu pertama untuk kedua-dua belah pihak dalam keluarga kami," katanya.

Kongsi Mas Anizan lagi, anak perempuannya itu berkahwin dengan Faruq Azran, 31, pada 6 Ogos 2021 dan mereka kini menetap di Qatar.

Pelakon filem 'Antara Gadis' dan 'Reeza GTR' ini berkata, cucunya belum diberikan nama dan ibu bapanya akan berbuat demikian pada hari ketujuh.

"Begitu juga wajahnya belum boleh dipamerkan buat atas kehendak mereka. Mas Aliza akan berpantang di rumah saya, di sini.

"Panggilan saya untuk cucu ialah nenda. Memang saya teruja sangat kali pertama tengok muka cucu. Perasaan ini tak dapat nak diluahkan dengan kata-kata.

"Mas Aliza bersama suami dan bayi mereka akan pulang ke Qatar selepas selesai tempoh berpantang. Insya-Allah saya akan ikut mereka nanti," tuturnya yang turut memberitahu, selepas Aidilfitri, semua penggambaran membabitkan dirinya akan selesai.

"Jadi saya nak berehat sekejap. Bila ada tawaran berlakon baru saya akan balik ke Malaysia," katanya.

Untuk makluman, hasil perkongsian hidup dengan Allahyarham Datuk Ali Bapoo pada 1993, mereka dikurniakan dua anak, Mas Aliza dan Muhamad Masli Daniel, 25.

Dia kemudian berkahwin kali kedua dengan seorang ahli perniagaan dan dikurniakan anak perempuan, Ariana Marrisa, 12, sebelum bercerai pada 2021.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: