Semua sedia maklum mengenai pelakon Ben Amir atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin, 35, dimana dia mengambil keputusan untuk memulakan kehidupan baharu di Pulau Siargao, Filipina.
Namun begitu, jelas Ben, dia tidak berhasrat untuk meninggalkan dunia, sebaliknya hanya ingin berehat buat seketika waktu dan jika ada tawaran filem, dia bersedia untuk pulang ke tanah air.
"Saya tidak tinggalkan dunia seni. Saya nak berehat sekejap dan lakukan benda lain. Kalau ada tawaran filem, baru saya akan balik. Saya juga nak fokus filem saja selepas ini," tuturnya.
Sebelum ini, Ben mengejutkan peminat apabila mengumumkan bakal memulakan kehidupan baharu di pulau terbabit dan keputusan besar itu dikongsikan pelakon itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di media sosial miliknya baru-baru ini.
Melihat pada perkongsian video itu, Ben mendedahkan dia bukan sahaja menetap di pulau berkenaan tetapi juga sedang merancang untuk membina sebuah rumah dan memulakan perniagaan DJ sana.
"Saya membuat keputusan besar untuk meninggalkan kehidupan bandar dan membina kehidupan baru di pulau yang indah ini bernama Siargao.
"Tetapi buat masa ini, saya sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan pulau bertemu orang baru, mempelajari budaya Filipina serta adat resam mereka.
"Saya masih baru di sini, saya ingin membina impian saya dari bawah, dan sekarang, saya bekerja untuk bina rumah, villa, perniagaan saya dan tidak lama lagi saya akan mengusahakan sebuah ladang kecil," katanya.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment