"Koleksi lagu Siti Nurhaliza yang ada dalam simpanan SRC ketika dia masih bernaung dengan kami dulu kira-kira 11 lagu yang belum dikeluarkan lagi, tetapi sudah siap dirakam. Masa itu pun, vokal Siti masih muda.
"Jadi, baki lagu yang ada ini sebenarnya lebihan yang disimpan ketika kami menerbitkan setiap album Siti. Memang kami hasilkan lebih dari 10 lagu dan semestinya ada lagu yang belum pernah dikeluarkan lagi.
"Malah, ada antara lagu disimpan itu hasil ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan. Tapi untuk terbitkan album, mestilah kami perlu minta kebenaran daripada Siti terlebih dulu sebelum buat apa-apa keputusan."
Itulah kata Pengarah Urusan Syarikat rakaman Suria Records (SRC), Edwin Tan yang mengesahkan SRC masih mempunyai kira-kira 11 lagu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, di dalam simpanan mereka tetapi belum dilancarkan oleh biduanita negara itu.
Kata Edwin, pihaknya bagaimanapun tidak menolak kemungkinan berminat mengeluarkan baki lagu milik Siti itu sewaktu masih bernaung dengan label berkenaan.
Bagaimanapun, Edwin memberitahu, dia enggan membelakangkan Siti kerana sangat menghormati penyanyi tersohor tanah air itu yang juga nama besar dalam industri hiburan dalam dan luar negara.
"Memang SRC ada berniat untuk keluarkan kesemua baki lagu itu dalam album, tapi saya fikir perlu ada satu persetujuan bersama kerana ia tetap lagu nyanyian Siti. Jadi, kami tak boleh buat keputusan sewenang-wenangnya.
"Lagu yang kami simpan itu pun kebanyakannya bergenre pop dan sudah tentu juga vokal Siti sekarang sudah banyak berubah dan lebih matang berbanding dulu," jelasnya lagi.
Selain itu, ujarnya, bukan saja lagu Siti tetapi SRC juga ada menyimpan baki lagu penyanyi lain seperti Liza Hanim, Noraniza Idris, New Boyz dan Sofaz yang pernah bernaung di bawah syarikat itu.
Untuk makluman, Siti mula menyertai SRC selepas menjuarai Bintang Hiburan Minggu Ini (HMI) di RTM pada 1995 dan sudah pun merakamkan sebanyak 11 album studio bersama label terulung tempatan berkenaan.
Malah, Siti juga merakamkan album terakhirnya bersama SRC pada 2004 iaitu album Prasasti Seni sebelum kontraknya tamat sepenuhnya pada 2006.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment