27 May 2025

KURANG ILMU DEK TAK PERGI KURSUS UMRAH - YASSIN SENARIO JELAS BAWA BARANGAN LAMBANG LARANGAN PUNCA DITAHAN, TIDUR SAMBIL BERDIRI DI LOK4P & PULANG SEHELAI SEPINGGANG



"Ia bermula dengan satu sidang media menjemput 25 artis veteran. Ada seorang insan dari Pulau Pinang berbesar hati menaja 25 orang artis menunaikan umrah. Saya teruja dan fikir inilah waktunya. Orang taja jadi mengapa tidak saya ambil peluang.

"Ketika itu, saya ada 'job', tapi saya fikir nak ambil 'job' atau peluang ini (umrah). Saya berbelah-bahagi dan pening. Saya tanya isteri dan fikir mungkin inilah niat yang sudah lama diimpikan. Saya terus hubungi emak dan beritahu ada orang nak taja menunaikan umrah.

"Emak beritahu, Alhamdulillah, dia baru semalam berdoa agar salah seorang anak dapat pergi umrah. Itulah saya... Jadi, saya buat keputusan mahu pergi umrah, namun agak kelam kabut buat persediaan.

"Saya hanya buat persediaan dengan belajar dalam YouTube dalam masa singkat. Ketika itu, Senario juga baru sahaja memenangi trofi Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH).

"Jadi, saya lebih teruja mewakili anggota Senario nak berdoa, sambil belajar. Sebelum berlepas, saya bergurau dengan emak, 'saya mungkin extend'. Emak terkejut, tapi saya terlepas cakap tanpa sengaja, tapi nampaknya masin mulut.

"Saya menaiki penerbangan lapan jam perjalanan ke Jeddah. Sebelum berlepas saya fikir bagaimana saya nak merokok, jadi saya beli rokok kertas, 'grinder' (pengisar) dan beli sekotak rokok di lapangan terbang.

"Sampai di Jeddah, beg diimbas ketika penerbangan ke Madinah. Pihak Kastam nampak sesuatu dan arahkan buka beg saya. Dia pegang benda agak mengeruni, saya nampak dia pegang 'grinder' yang ada lambang barang terlarang.

"Mereka terus selongkar beg. Bagi mereka, ini adalah barang mencurigakan. Saya pun tak tahu apa yang mereka buat. Saya tanya apa yang mereka buat, saya jelaskan ini rokok.

"Jika mencurigakan, boleh buat ujian air k£ncing. Pada masa sama, saya suruh mutawif tinggalkan saya kerana mereka mahu kejar penerbangan seterusnya ke Madinah.

"Selepas soal siasat, mereka tutup beg yang digeledah dan saya fikir mereka nak hantar saya kembali kepada kumpulan jemaah. Mungkin saya boleh lepas, namun pihak polis suruh ikut ke kenderaan polis (jeep) dan menggari tangan.

"Saya dibawa ke balai polis di Jeddah pula. Saya tertanya-tanya apa salah saya. Kalau fikir, takkan soal lambang jadi satu kesalahan. Kalau salah, saya sudah kena tahan di Malaysia.

"Saya memang tak tahu mengenai undang-undang di sana. Sampai di balai polis, saya tiada peluang memberikan penjelasan atau menghubungi sesiapa, apatah lagi, masalah komunikasi macam 'ayam dan itik'.

"Dalam perjalanan, saya 'contact' Allah sahaja, hanya berserah dan memohon doa serta tak putus berzikir. Sampai sana, beg dan barang-barang termasuk telefon bimbit diambil, saya dimasukkan ke lokap khas untuk dadah."

Demikian jelas pelawak Yassin Yahya menerusi satu podcast istimewa, dimana dia tampil membuka mulut menceritakan kejadian yang menimpanya selepas ditempatkan selama enam bulan di Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing, setibanya dari Jeddah.

Menceritakan kejadian berlaku, Yassin yang juga anggota kumpulan Senario itu berkata, ini adalah kali pertama dia mahu mengerjakan ibadah umrah, namun kurang ilmu berkaitan perjalanan ke Tanah Arab, dimana ia menjadi faktor penahanannya.

Klik untuk gambar besar

Tambahnya lagi, tawaran kerja yang diterima itu terpaksa cari pengganti, cuma terkilan tak sempat pergi kursus umrah, selain turut mendedahkan, dia pernah tidur berdiri di lokap ketika ditahan selama 10 hari di sebuah balai polis di Jeddah, Arab Saudi pada Oktober tahun lalu.

"Keadaan di lokap agak menyedihkan. Kali pertama saya tidur berdiri sebab lantai penuh. Saya akhirnya dapat juga tidur di depan pintu tandas. Nampak kaki orang langkah saya dalam masa lapan hari.

"Kemudian, saya dipindahkan ke Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing di Jeddah pada 5 November, tahun lalu," katanya yang turut memberitahu, dia mendapat panggilan pihak konsulat Malaysia di Jeddah pada hari pertama dipindahkan ke pusat berkenaan.

"Pihak konsulat pun sukar nak tembus. Alhamdulillah, mereka akhirnya dapat bercakap dengan saya. Kali pertama saya dapat tinggalkan 'voice note' kepada isteri. Atas bantuan pihak konsulat juga, saya diberikan bercakap dengan isteri, namun talian terputus-putus.

"Saya melalui perbicaraan di mahkamah secara talian pada 19 November. Saya jelaskan kejadian berlaku, saya bukannya penyeludup, tetapi saya dijatuhkan hukuman selama enam bulan.

"Saya akur kesalahan. Saya beritahu isteri, ini kesalahan saya bawa barang ada lambang larangan, mungkin saya terlepas pandang. Apapun, saya anggap ini musibah dan perjalanan hidup saya. Mungkin musibah ini satu kebaikan untuk saya.

"Ini satu pengajaran, saya nak pesan kalau pergi negara orang, berhati-hatilah. Jangan bawa barang ada lambang larangan. Saya tidak mengikuti kursus umrah, jadi saya tidak tahu, tapi inilah akibatnya pergi tanpa ilmu," tuturnya.

Dalam pada itu, Yassin turut berkongsi kisah dimana dia memilih untuk pulang sehelai sepinggang dan meninggalkan segala barangan miliknya di Jeddah, Arab Saudi kerana sudah tidak sabar bertemu keluarganya, minggu lalu.

Berhubung itu, ujar Yassin, tiada apa yang dis£salkan, sebaliknya menyifatkan enam bulan tempoh penahanan di Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing di Jeddah sebagai 'tempoh pengajian' yang memberikan pengalaman sangat berharga dalam hidupnya.

"Alhamdulillah, ini bukanlah 'mati hidup semula', tapi ia adalah peluang seterusnya dan saya sudah menamatkan pengajian di universiti di Jeddah. Dalam perjalanan nak balik, saya fikir betul ke saya nak balik?

"Terima kasih kepada Allah atas takdir ini kerana memberikan satu pengalaman berharga. Tak boleh nak gambarkan perasaan ketika sampai ke Malaysia. Pertama, saya memang nak jumpa ibu, isteri dan anak-anak, rindu...

"Saya menggunakan 'certificate emergency' kerana saya balik sehelai sepinggang. Dokumen tiada. Saya tinggalkan semua barang di Jeddah sebagai kenangan indah.

"Yang penting, pengajian sudah tamat dan saya boleh balik," jelasnya yang dalam masa sama juga berterima kepada pihak konsulat di Jeddah dan Malaysia yang banyak memudahkan urusannya.

"Alhamdulillah, saya banyak dibantu konsulat di Jeddah dan saya ada 'pasport kecemasan'. Saya pulang sehelai sepinggang, jika nak ambil semua barang kena lanjutkan pengajian sebulan lagi.

"Saya sudah tak boleh tahan, jadi biarlah. Bila pengajian tamat, saya beritahu konsulat saya nak balik," kongsi Yassin dalam podcast istimewa, Darkcast, Episod Khas - Yassin Yahya, bersalah atau ??? bersama Saiful Apek yang disiarkan dalam YouTube Gitu Gitu Studio, semalam.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: