12 January 2026

NUBHAN ANTARA ENAM PESERTA BERJAYA KE FINAL GV12 - IMPIAN SHAE PULA TERKUBUR



Nampaknya hasrat peserta Shae untuk mara ke pentas akhir program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) tidak kesampaian apabila nama diumumkan sebagai peserta yang tersingkir pada peringkat separuh akhir.

Dalam persembahan yang berlangsung di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), malam tadi, Shae menyampaikan lagu 'Toyol' nyanyian asal Allahyarham Datuk Sudirman Arshad serta Rosalinda (ThalĂ­a), namun gagal memikat hati juri tetap.

Juri tetap, Hetty Koes Endang yang mengulas persembahan tersebut, berpendapat Shae seharusnya lebih mengekalkan penggunaan suara asli berbanding terlalu banyak bermain dengan teknik vokal.

"Musical show memang kekuatan awak, tetapi ada bahagian yang saya rasa tidak perlu dimainkan suaranya. Daripada awal sampai akhir awak menyanyi bukan menggunakan suara sebenar.

"Bahagian 'Toyol' itu masih boleh, tetapi selebihnya perlu guna suara asli. Datuk Syafinaz juga sependapat dengan saya mengenai perkara ini," katanya.

Shae bagaimanapun tidak pulang dengan tangan kosong meskipun tidak berjaya ke peringkat final apabila menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM8,000 daripada pihak penganjur.

Klik untuk gambar besar

Sementara itu, Nubhan merupakan antara enam peserta yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir GV12 disamping Iskandar Ismail, Mark Adam, Ruri Repvblik, Mell Sakura dan kumpulan Mendua.

Bagi Anugerah Adabi, Ada Beats dimenangi oleh Iskandar yang juga muncul sebagai peserta dengan markah tertinggi pada malam tersebut, sekaligus membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta barangan Adabi bernilai RM500.

Manakala Mark Adam pula, dia sekali lagi membolot Anugerah Ikon Semangat No.1 CelcomDigi dan membawa pulang wang tunai RM3,000.

Selain itu, penampilan istimewa penyanyi legenda menerusi segmen Lejen Lanjer iaitu Salamiah Hassan turut memeriahkan suasana konsert separuh akhir.

Konsert akhir GV12 bakal berlangsung dengan tema Full Swing, All Out yang menampilkan tiga tugasan utama iaitu persembahan solo, duet bersama artis jemputan serta segmen battle.

Selain Hetty, GV12 menampilkan Datuk Ramli MS dan Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap, manakala program itu dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad.


KLIK DISINI UNTUK FOTO LAIN

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: