10 October 2026

BELLA ASTILLAH & SYED SADDIQ KINI SAH SUAMI ISTERI - HANTARAN 'GROWING OLD TOGETHER' PENGANTIN JADI PERHATIAN



Setelah melalui pelbagai fasa kesedihan dan ujian dalam rumah tangganya sebelum ini, termasuk membesarkan dua anaknya, penyanyi dan pelakon Bella Astillah, 32, akhirnya menemui bahagia apabila kini sah bergelar isteri kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, 34, dengan sekali lafaz pada pukul 10.40 pagi Sabtu.

Majlis akad nikah yang bertema Islamic Arabic itu berlangsung secara sederhana di bangunan ikonik Malaysia, Merdeka 118 Precinct, sekaligus menjadi pasangan pertama yang disatukan sebagai suami isteri.

Dalam majlis tersebut, pasangan yang digelar BASS itu dinikahkan oleh Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu YABhg. Dato' Seri Dr. Hj Zulkifli Mohamad Al-Bakri dengan berwalikan bapa Bella Astillah, Awang Astillah Abdullah@ Dullah serta dua orang saksi, Ustaz Syed Abdullah Syed Nordin dan Ustaz Mohd Nizam Md Nor.

Pernikahan itu sekali gus menyatukan dua figura yang dikenali dalam bidang berbeza, dengan Syed Saddiq aktif dalam arena p0litik, manakala Bella Astillah mencipta nama dalam industri hiburan.

Klik untuk gambar besar

Majlis yang dihadiri 255 jemputan termasuk keluarga terdekat serta kenalan rapat kedua belah pihak itu menyaksikan pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin bernilai RM500 dengan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada pihak wanita.

Antara hantaran daripada Syed Saddiq kepada Bella ialah cincin emas eksklusif tempahan khas daripada Goldfish Jewelry menggunakan emas tulen AU999, sebagai simbol ikatan cinta abadi.

Turut disertakan ialah tajaan pengajian pascasiswazah peringkat Sarjana Komunikasi melalui sistem APEL di School of Media and Communication (SOMAC), Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Masa Lapang, Taylor’s University.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menghadiahkan set gimnasium di rumah untuk Bella dan anak-anaknya, Aiden serta Ara, selain kerusi urut untuk kegunaan Bella, anak-anak dan kedua-dua ibu bapa pasangan itu.

Hantaran lain termasuk basikal yang melambangkan minat berbasikal bersama serta impian mengembara ke seluruh dunia, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM100,000 untuk jaminan kewangan masa depan Bella, serta pakej umrah untuk pasangan itu yang ditaja Qashwa Travel Sdn. Bhd.

Sementara itu, antara hantaran daripada Bella kepada Syed Saddiq ialah cincin emas eksklusif tempahan khas daripada Goldfish Jewelry, sepasang kasut Christian Louboutin, naskhah al-Quran dan minyak wangi.
Bella turut menyediakan e-book dan cermin mata yang mencerminkan minat suaminya terhadap pembacaan serta aktiviti sukan, selain coklat istimewa sebagai pelengkap hantaran.

Turut mendapat perhatian ialah emas tulen AU999 bertemakan Iron Man Malaysia, tempahan khas daripada Goldfish Jewelry yang membawa simbolik gelaran berkenaan serta impian Syed Saddiq untuk menjadi Iron Man Malaysia.

Lebih istimewa, Bella turut menghadiahkan penyertaan acara triatlon kepada suaminya, sebagai tanda sokongan terhadap minat dan impiannya dalam sukan lasak itu.
Acara berkenaan merangkumi renang sejauh 10 kilometer, berbasikal sejauh 421 kilometer dan larian sejauh 84.4 kilometer, dengan jarak keseluruhan 515.4 kilometer.

Hantaran pasangan itu mengundang perhatian ramai kerana bukan sekadar barangan kemas atau hadiah perkahwinan, malah turut mencerminkan minat, impian termasuk melibatkan aspek kesihatan, pendidikan, simpanan dan perancangan masa depan.

Namun apa yang lebih menarik, pasangan yang tampil anggun dan segak dalam persalinan serba putih itu turut menerima kejutan berupa tajaan menunaikan umrah.
Majlis akad nikah pasangan ini turut dihadiri tetamu kehormat iaitu YABhg. Dato' Seri Dr. Wan Azizah Binti Dr. Wan Ismail, YBhg. Tan Sri Muhyiddin Yassin dan YBhg. Puan Sri Norainee Abdul Rahman, YBhg. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob & YBhg. Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, YABhg. Tun Musa Hitam serta YABhg. Toh Puan Zulaikha Sheardin.

Untuk makluman, Syed Saddiq dan Bella mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu dan bakal mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober depan.

Bella sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan pelakon yang berasal dari Singapura, Aliff Aziz pada September 2016.

Pasangan itu kemudian bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum kembali rujuk dan akhirnya berpisah buat kali kedua pada 13 Jun 2024. Hasil perkahwinan dengan Aliff, Bella telah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden, 9, dan Ara, 6.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: