29 November 2008

TIKET SINBAD LARIS!

Setelah kejayaan pementasan Ali Baba (2006) dan Aladdin (2007), Istana Budaya (IB) sekali lagi akan mementaskan teater muzikal kanak-kanak. Untuk musim cuti sekolah tahun ini, Teater Muzikal Kanak-Kanak Sinbad bakal menemui khalayak penonton bermula 2 – 13 Disember 2008 di Panggung Sari, IB dengan penampilan istimewa pelakon, penyanyi, penyampai radio dan pengacara popular, Raja Azura atau lebih mesra disapa sebagai Kak Engku.

Selain daripada persembahan malam, bermula 8.30 malam setiap hari-hari persembahan, Sinbad turut dipentaskan pada jam 3.00 petang (matinee) pada 6 dan 13 Disember (Sabtu), sementara pada 7, 8 dan 9 Disember, pementasan berhenti rehat sempena menyambut Hari Raya Haji.

Memandangkan jualan tiket yang amat memberangsangkan, pihak IB menasihatkan ibu bapa dan penonton yang bercadang untuk menonton persembahan ini, khususnya mereka yang berada di luar Lembah Klang agar membuat tempahan secara online menerusi www.ticket2u.biz atau membeli terus tiket di Kaunter Box Office Istana Budaya.

Setakat ini hampir 70 peratus tiket Sinbad sudah pun habis dijual untuk 11 pementasaan. Ini bermakna, sejumlah 10,125 tiket daripada kapisiti Panggung Sari sejumlah 14,465 tempat duduk untuk 11 kali pementasan telah pun ditempah dan dibeli oleh penonton.

Pementasan Ali Baba pada 2006 berjaya menarik seramai 12,838 penonton, sementara Aladdin yang dipentaskan tahun lepas sejumlah 10,206 penonton telah menyaksikannya. Berdasarkan trend jualan tiket pada kedua-dua pementasan ini, tiket untuk pementasan Sinbad berkemungkinan besar akan habis sebelum hari pementasan berakhir.

Oleh itu, pihak Istana Budaya menasihatkan ibu bapa yang bercadang membawa anak-anak untuk menonton persembahan ini agar membeli tiket lebih awal untuk mengelakkan tiada tempat duduk di saat-saat akhir.

Sinbad, skrip Siti Jasmina Ibrahim, arahan A. Aris A. Kadir ini membabitkan 80 orang pelakon kanak-kanak. Ia mengisahkan seorang pelayar yang terkenal bernama Sinbad, berjaya mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran di lautan. Kehilangan Kitab Damai kepunyaan Raja Mikraj merupakan tugas utama Sinbad untuk mendapatkannya kembali daripada Dewi Bencana. Pelbagai konflik berlaku, di mana nilai kerjasama, kejujuran dan sikap saling bantu membantu adalah intipati yang ditonjolkan dalam pementasan ini agar membawa contoh terbaik dalam kehidupan, terutamanya dalam didikan awal kanak-kanak.

Sinbad dipentaskan Istana Budaya dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Perpustakaan Negara Malaysia.

Artikel ini disediakan oleh: Istana Budaya

No comments: