10 March 2010

LPFM - NASI DAH JADI BUBUR?

Ketika mendapat perkhabaran bahawa filem pertama arahannya V3:Samseng Jalanan bakal diharamkan kerana beberapa adegan yang dianggap keterlaluan, Farid kamil tak senang duduk diam. Malah demi filem pertamanya itu, Farid sanggup berbuat apa saja.

Akibat tidak mahu filemnya itu terperap begitu saja, Farid Kamil dan penerbit filem tersebut, MIG Production membuat rayuan kepada Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM). Selepas bertolak ansur terhadap beberapa perkara, akhirnya filem itu lulus untuk ditayangkan kepada umum.

“Saya boleh anggap filem ini adalah luahan rasa seorang Mat Rempit. Saya pernah melalui pengalaman berlumba haram 15 tahun lalu

“Tapi apabila saya mengatakan ia adalah filem luahan rasa seorang mat rempit tidak bermakna saya mengangkat mereka sebagai wira.

“Apa yang saya gambarkan dalam filem ini adalah gambaran sebenar kehidupan mereka. Dialog yang dilafazkan watak sudah memadai untuk menggambarkan luahan hati mat rempit. Filem ini dibuat mengambil inspirasi Osman Ali ketika mengarah Anak Halal,” kata Farid yang dipetik sebagai berkata.

Dan selepas menanti penuh debar, akhirnya filem yang menampilkan Farid sendiri bersama pelakon lain seperti Aqasha, Intan Ladyana dan Lisa Surihani diluluskan LPF dengan klasifikasi 18PL. Walaupun dipotong sebanyak 20 peratus kerana ia membabitkan adegan mat rempit seperti mengangkat tayar depan dan belakang serta babak mereka melepaskan diri dari sekatan polis, namun Farid tetap berpuas hati kerana ia tidak mencacatkan plot ceritanya.

berkisar daripada kemelut itu, David Teo seolah merajuk apabila memberitahu bahawa filem V3:Samseng Jalanan adalah filem terakhir yang mengisahkan mat rempit. Alasannya, keputusan itu dibuat berdasarkan garis panduan baru yang dikeluarkan oleh LPF.

“Ini bermakna filem V3:Samseng Jalanan adalah filem terakhir kami yang memaparkan aksi Mat Rempit. Saya hanya akan kembali menerbitkan filem seperti ini jika syarat atau garis panduan itu dilonggarkan. Saya tidak mahu menanggung risiko jika terus menghasilkan filem seperti ini supaya kejadian yang sama tidak berulang. Mujurlah pihak LPF meluluskan juga filem ini,” tegas David dipetik sebagai berkata.

Persoalannya sekarang, apakah LPFM sudah terlambat dalam hal ini? Impak daripada filem-filem seperti KL Menjerit, KL Menjerit 1, Gangster, Castello, Remp-It, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift, Impak Maksima dan akan datang Evolusi KL Drift 2 sebenarnya telah sebati dalam jiwa anak-anak muda sekarang.

Lihat sahajalah ketika malam-malam minggu di Dataran Merdeka, beratus anak muda duduk lepak dengan motosikal dan kereta masing-masing seperti dalam filem layaknya. Ikhlasnya, sebelum ini mereka tidak dilihat melepak berkumpulan sebesar itu dan semuanya wujud gara-gara meniru adegan dari sebuah filem tempatan.

Bukan mahu menuding jari pada sesiapa, tetapi itulah hakikatnya jika terlepas pandang dan berkerja cara mudah. Konon mahu menimbulkan keinsafan pada anak muda, tetapi impak yang timbul sebenarnya lebih besar dan memburukkan keadaan.

"Daripada anak-anak muda kampung tak tahu apa itu Rempit, kini mereka dah tahu," ujar seorang penonton penuh kesal. Tambahnya, semua pihak tidur dalam hal ini termasuk penerbit filem yang memandang keuntungan semata-mata.

Oleh yang demikian, benarlah bahawa "nasi sudah menjadi bubur" bagi LPFM. Tindakan terkini untuk tidak membenarkan adegan atau nama rempit dan seangkatannya dilayar perak adalah satu tindakan "lembab" dan sudah terlambat bagi segelintir pihak yang sudah terbiasa dengan aksi filem seperti itu.

Bak lirik lagu Shidee, "Sayang semuanya sudah terlambat".

    (\__/)
    (='.'=)
    (")_(")
    www.myartis.com 2010

No comments: