22 September 2011

BILA ROZITA CHE WAN MINTA RM3,000

Benarkah bayaran RM3,000 untuk satu siri drama bagi penerbitan drama bersiri dalam negara ini 'tidak masuk akal'? Apakah bayaran lazim RM1,500 hingga RM2,000 itu berpatutan untuk pelakon popular seperti Rozita Che Wan,38, yang kini semakin laris seperti goreng pisang panas?

Persoalan inilah yang patut dijawab dan dipertimbangkan oleh syarikat produksi seperti Grand Briliannce Sdn Bhd (GBSB) yang kebiasaannya membuat untung besar melalui drama-drama terbitan mereka.

Isu tersebut timbul apabila Ketua Produksi Drama & Filem, Primeworks Studios, Jalena Rejab dikatakan terkejut apabila Rozita menolak tawaran membintangi sebuah drama bersiri Goyang Rafique baru-baru ini. Dakwanya, pelakon yang sinonim dengan watak janda itu awalnya telah bersetuju untuk berlakon dengan mereka, namun selepas itu menolaknya apabila tidak berpuas hati dengan bayaran yang ditawarkan.



“Sebelum Rozita berangkat mengerjakan umrah pada Ramadan lalu, dia telah bersetuju untuk membintangi drama bersiri 13 episod terbitan GBSB termasuklah meminta pihak produksi mematuhi segala jadual penggambarannya.

“Sayang sekali selepas dia pulang mengerjakan umrah pada pertengahan bulan Ogos lalu, dia menolak tawaran yang diberikan dengan alasan bayaran yang diberikan tidak setimpal,” katanya dipetik sebagai berkata.

Selanjutnya Jalena menjelaskan, menjadi amalan bagi semua syarikat produksi di negara ini memberi bayaran di antara RM1,500 sehingga RM2,000 bagi setiap satu episod untuk artis 'senior' seperti Rozita tetapi malang sekali pelakon itu telah menuntut bayaran yang berlebihan.

Difahamkan, Rozita telah meminta sebanyak RM3,000 untuk setiap satu episod drama berkenaan. Benarkah permintaan tersebut agak keterlaluan dan tidak logik?

“Terus terang saya katakan, pelakon Fasha Sandha pun tidak pernah meminta bayaran seperti itu. Kami amat terkejut dengan tindakan sedemikian. Malah Rozita turut memberi kata dua, jika mahu mengambilnya berlakon, pihak kami hendaklah memenuhi impiannya tetapi jika tidak, dia enggan terlibat dalam drama berkenaan,” ujar Jalena menjelaskan situasi yang melanda.

Ekoran itu, pihak GBSB terpaksa menggantikan Rozita dengan pelakon Sharifah Shahirah.

Kesimpulan daripada kemelut yang melanda GBSB dengan Rozita, pihak produksi negara ini sewajarnya lebih prihatin dengan perkembangan semasa dan peningkatan sara hidup yang agak tinggi dewasa ini. Bayaran tampuk lama seharusnya dikaji semula demi kebaikkan bersama memandangkan industri tersebut semakin berkembang maju.

Janganlah kerana ego atau terikat dengan sistem bayaran lama membuat drama-drama terbitan kita jadi tidak berkembang dan bermutu. Malah bayaran pada para pelakon tidak kira junior, senior atau veteran hendaklah sama adil dan bukan sekadar melepas batuk ditangga semata-mata... atau dalam erti kata lain, 'taukeh makan isi, kuli makan kulit'.


No comments: