21 September 2011

TIADA NIAT PERSENDA KALIMAH SYAHADAH - AHMAD IDHAM

Pengarah dan penerbit Ahmad Idham melahirkan rasa terkilan dan pelik apabila ada pihak yang mendakwa filemnya Hantu Bonceng mempermainkan kalimah syahadah. Tambahnya, dia tidak pernah berniat untuk mempersendakan kalimah syahadah dalam filem yang mengutip RM8.4 juta itu yang secara tiba-tiba menjadi kontroversi.

"Dialog yang dituturkan oleh Zizan Raja Lawak dalam adegan berkenaan yang dikatakan mempermainkan kalimah syahadah itu tidak langsung bertujuan untuk menghina seperti yang didakwa segelintir pihak.



"Saya pelik mengapa perkara ini dibesar-besarkan kerana jika diperhatikan adegan tersebut tidak langsung mempersendakan kalimah syahadah. Cuma hanya cara lontaran dialog tersebut sahaja yang telah disalah tafsirkan.

"Saya terkilan perkara itu diperbesarkan sehingga ada yang menganggap saya sebagai manusia yang terlalu jahil tentang agama. Pihak-pihak berkenaan sanggup mengeluarkan kata-kata kesat terhadap saya," katanya dipetik sebagai berkata selepas sidang media sempena penyampaian watikah kemasukannya ke program Ijazah Doktor Falsafah (PhD), di Universiti Utara Malaysia (UUM), yang diadakan Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, semalam.

Untuk info, kontroversi tercetus apabila Zizan (membawa watak Amran) dalam filem tersebut melakukan adegan pengsan di hospital akibat kemalangan. Dia tiba-tiba terkejut selepas terbayangkan wajah hantu lalu mengucap dua kalimah syahadah dan menyebut perkataan “syaitan”.



"Sekiranya adegan itu benar-benar terlalu sensitif, ia sudah awal-awal disunting oleh pihak Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPFM). Mengapa baru sekarang isu ini timbul setelah Hantu Bonceng habis ditayangkan di pawagam?

"Ini bermakna ada segelintir pihak sengaja menimbulkan isu tersebut dan mempunyai agenda tertentu," tambahnya yang masih menunggu memorandum yang ingin dikeluarkan terhadapnya oleh individu yang mengakui mewakili Dewan Pemuda Pas.


No comments: