27 December 2011

KONSERT LOUDSPEAKER GAGAL?


Penampilan penyanyi hebat seperti kumpulan Wings, XPDC, Azlan & The Typewriter serta Faizal Tahir & Royale FT Force tidak menjanjikan sambutan juga hebat daripada penonton. Dan itulah yang berlaku terhadap konsert Loudspeaker yang berlangsung Ahad lepas di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang dilihat gagal mencapai sasaran.

"Walaupun sambutan yang diberikan penonton tidak mencapai sasaran, namun ia sedikit pun tidak melemahkan semangat kami," ujar wakil penganjur Red Garage Group Sdn Bhd, Dira Abu Zahar.

Klik untuk imej besar...






"Saya tidak melihat konsert ini sebagai satu kegagalan sebaliknya satu platform mendidik pencinta muzik dalam menghargai konsert berbayar.

"Secara peribadi, saya sangat berpuas hati daripada segi persembahan. Ini bukan pengakhiran sebaliknya permulaan.

"Bagi saya, rakyat Malaysia terlalu di manjakan dengan konsert percuma dan kita perlu berubah senario berkenaan.

"Untuk sukses ke arah itu ia memerlukan masa dan saya percaya jika penganjur berani melakukan seperti apa yang telah kami buat malam ini, kita dapat membantu perkembangan industri muzik tempatan," tambahnya dipetik sebagai berkata.

Untuk makluman, hanya lebih kurang 3,000 penonton sahaja yang hadir menonton konsert tersebut disebabkan harga tiket mahal sekitar RM77 dan RM222. Meskipun ia berlangsung pada cuti umum, namun masih ramai peminat yang lebih suka berehat di rumah atau melakukan aktiviti lain.

Terdahulu sebelum konsert bermula, myartis yang sempat bertemu dengan ahli kumpulan XPDC iaitu Amy dimaklumkan, kumpulan tersebut bergabung kembali dengan Ali adalah atas dasar permintaan penganjur.

"Bagi kami, gabungan Mael dan Ali memang tiada masalah langsung meskipun sebelum ini pelbagai kontroversi melanda. Yang penting ialah 'masyuukk' (dapat bayaran)," ujar Amy berseloroh.

No comments: