15 January 2012

ALLY ISKANDAR DEDAH RAHSIA BAKAL ISTERI


Ada beberapa fakta yang dikeluarkan dalam Internet tentang perkahwinan Ally Iskandar dan farah Lee tidak begitu tepat, demikian kata Ally. Pertamanya, majlis pernikahan Ally dan Farah tidak akan berlangsung di rumah keluarga Farah, di Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu, sebaliknya di lokasi lain.

"Kami sudah ada lokasi lain, tapi biarlah buat masa ini tidak begitu dihebahkan. Lagipun ia dibuat secara sederhana dan hanya kenalan serta keluarga terdekat sahaja akan dijemput. Lagi satu, memanglah keluarga saya berasal dari Terengganu, tapi saya tidak dilahirkan di sana sebagai mana yang ditulis oleh satu portal hiburan, sebaliknya di Kuala Lumpur," kata Ally dipetik sebagai berkata.





Ikuti temubual media dengan Ally mengenai debar menjelang majlis pernikahannya pada 20 Januari nanti.

MEDIA: Perkenalan singkat mulai September lalu dan bakal bernikah 20 Januari nanti, sudahkah Ally benar-benar kenal bakal isteri dan bersedia bergelar suami kepada Farah?

ALLY ISKANDAR: Memang belum kenal sangat dengan dirinya, itu keseronokan dan misterinya hidup bersama yang akan kami tempuhi selepas ini. Sepanjang empoh perkenalan dengannya, saya diberitahu oleh Farah bahawa dia mahukan seorang suami yang boleh membimbingnya dunia dan akhirat, itu cabaran besar buat saya dan saya sahut cabaran itu.

MEDIA: Bagaimana dengan jarak usia agak ketara berbeza?

ALLY ISKANDAR: Usia kami berbeza 13 tahun, sudah tentu cara berfikir kami juga berbeza, dia melihat dunia sebagai pelajar dengan cara sendiri dan saya yang sudah lama bekerja mesti ada pandangan tersendiri. Walaupun usia saya sudah 36 tahun, tapi jiwa saya masih muda, cuma bila dengannya saya tidak bolehlah nak jadi macam budak-budak.

MEDIA: Seronok berkenalan dengan gadis yang dipilih keluarga?

ALLY ISKANDAR: Pertama kali kami dipertemukan, saya melahirkan hasrat hati dan kemudiannya dia pula sudi menyambut hasrat saya. Kami tidak berdating, sebaliknya dia datang bersama kawan dan saya pula ditemani ibu dan adik. Setakat ini, hubungan ini satu perjalanan yang menyeronokkan, timbul satu perasaan yang tidak pernah saya duga selama ini. Saya juga harus menahan diri supaya tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya.

MEDIA: Selama ini anda tidak banyak mengulas tentang cerita perkahwinan yang sudah berminggu-minggu diperkatakan ini, nampak seperti sangat berhati-hati kali ini?

ALLY ISKANDAR: Sebab saya juga orang media, saya juga wartawan. Apabila berada dalam situasi begini, saya tahu apa yang sedang berlaku. Ada baiknya saya berhati-hati kerana selama ini hidup saya sudah banyak terdedah di mata umum. Saya hanya mahukan sedikit ruang peribadi dan keluarga adalah privasi yang paling utama buat saya.

MEDIA: Bunyinya seperti Ally mahukan perkahwinan Ally nanti satu majlis yang benar-benar tertutup? Adakah berasa takut dengan publisiti?

ALLY ISKANDAR: Untuk majlis pernikahan saya nanti, saya tetap akan jemput kawan-kawan media, nak datang sebagai kawan atau membuat liputan pun saya tak kisah. Bukan soal takut publisiti, saya memilih untuk majlis itu dibuat secara kecil-kecilan sahaja, tidak perlu besar-besaran atau majlis yang penuh glamor. Saya dalam bidang penyiaran yang terdedah kepada apa sahaja pandangan umum, bagi saya, inilah (perkahwinan) satu-satunya perkara boleh saya anggap sebagai peribadi, untuk saya simpan.

MEDIA: Jadi, adakah Ally tidak akan memperkenalkan Farah kepada media selepas ini?

ALLY ISKANDAR: Tengok keadaan dan situasi yang bagaimana. Farah sendiri masih bergelar seorang pelajar, saya kena hormati situasinya itu.

MEDIA: Mungkin sudah ada rancangan bersama bakal isteri yang mungkin boleh dikongsikan kepada umum?

ALLY ISKANDAR: Lepas berkahwin, yang pasti saya kena hantar Farah balik ke Korea, sesi pengajiannya akan bermula Mac nanti. Saya sendiri belum pernah ke Korea, jadi akan luangkan sedikit masa di sana, kira macam berbulan madu jugalah

No comments: