26 January 2012

JACLYN VICTOR 'BEBAS' BAWAH KRU STUDIOS


Tanpa mempedulikan apa kata orang mengenai KRU Music yang didakwa hanya gah sementara sahaja apabila mempunyai seseorang artis atau sesebuah kumpulan, Jaclyn Victor terus melangkah ke depan untuk bernaung di bawah syarikat itu.

Ini kerana, Jac kini mendapat kebebasan untuk memilih konsep lagu dan idea kreatif berkaitan kerjaya nyanyiannya berbanding syarikat lain.

Sesi menandatangani perjanjian di antara KRU Music dan Jaclyn Victor
Klik untuk imej besar...



"Saya sangat teruja kerana ia memberikan perspektif dan suasana baru. Bersama KRU, saya berpeluang untuk berkongsi idea dan konsep lagu yang saya mahukan.

"Ia membabitkan perbincangan dan perkongsian idea bersama," kata Jac dipetik sebagai berkata sebaik selesai sidang media sebagai artis KRU Music di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, semalam.

Untuk info, Jac atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 34, mengikat kontrak selama setahun dan bakal mengeluarkan album baru terbitan komposer terkenal, Edry Abdul Halim pada April 2012.



"Selepas lapan tahun bergelar artis rakaman, saya ingin 'lari' daripada identiti genre balada yang sinonim dengan saya sejak lagu Gemilang.

"KRU menawarkan konsep, muzik dan imej yang segar dan berbeza daripada kelaziman sebelum ini.

"Kreativiti dan pengalaman mereka memberikan keyakinan kepada saya untuk bekerjasama," tambah Jac.



UPDATE:

Kuala Lumpur, 25 Januari – Figura bernama Jaclyn Victor adalah antara permata seni yang menghiasi industri hiburan tanahair.

Tidak dinafikan perjalanan karier seni beliau agak konsisten semenjak bergelar juara Malaysian Idol yang pertama. Namun, Jaclyn Victor atau lebih senang dikenali sebagai Jac, ingin mencari kelainan dalam memantapkan kariernya dalam bidang nyanyian.

Klik untuk imej besar...


Untuk itu, Jaclyn Victor telah memilih untuk bernaung di bawah KRU Music dan hari ini majlis menandatangani kontrak di antara beliau dan KC Ismail selaku Timbalan Presiden, KRU Music selamat disempurnakan. Turut hadir menyaksikan majlis ini adalah Edry Abdul Halim selaku komposer yang bakal mencipta dan menerbitkan album Jaclyn Victor.

KRU Music sememangnya sudah lama mengikuti perjalanan karier seni Jaclyn Victor. Kemantapan dan keunikan vokal yang beliau miliki tidak pernah menghampakan tatkala menghiburkan audiens. Jaclyn Victor sememangnya berada dalam kelasnya yang tersendiri.

“Kami teruja untuk membuka tirai 2012 dengan memeterai kontrak bersama Jaclyn Victor. Banyak yang telah kami rancang dan atur untuk meningkatkan karier Jac sebagai artis residen kami” kata KC Ismail, Timbalan Presiden KRU Music.

“Sebagai permulaan, Jac bakal tampil dengan single terbaru berjudul Sebelah Jiwaku ciptaan Edry Abdul Halim dan lagu berkenaan akan dilancarkan pada Februari akan datang”.

“Pihak kami juga telah merancang untuk menerbitkan sebuah album penuh untuk Jac yang mengandungi lima buah lagu Melayu dan satu lagu Inggeris.”

“Antara lagu-lagu yang bakal dimuatkan termasuklah Sebelah Jiwaku, satu lagu tema untuk filem drama muzikal 29 Februari di bawah arahan Edry Abdul Halim dan satu lagu Inggeris untuk filem animasi 3D Ribbit di bawah arahan Chuck Powers”, kata KC Ismail menamatkan perbualan

“Kolaborasi ini tiba tepat pada masanya. Jenama KRU sendiri sudah berada di dalam industri muzik tanah air selama hampir 20 tahun dan sehingga kini mereka sudah pun memiliki sebuah empayar muzik dan perfileman yang gah bukan sahaja di Malaysia malah diperingkat global” kata Jaclyn Victor.

“Saya melihat ini sebagai satu bentuk kerjasama yang positif bagi kerjaya seni saya. Saya juga amat berbesar hati menjadi sebahagian dari ahli keluarga KRU Music” ujarnya lagi.

Edry Abdul Halim turut memuji kemampuan Jaclyn Victor sebagai seorang penyanyi versatil. “Ketika kami berkerjasama untuk lagu Sedetik Lebih, saya dapat merasakan yang Jac mampu membawakan lagu-lagu ciptaan saya dengan gayanya yang tersendiri.”

“Lalu saya gubah Sebelah Jiwaku khas untuk Jac. Lagu ini menceritakan tentang kekuatan yang terdapat pada seorang wanita untuk meneruskan kehidupan setelah gagal di dalam pencintaan” tambah Edry lagi.


Jaclyn Victor sedang mempersembakan lagu Sebelah Jiwaku


Plague yang ditandatangani komposer Edry Abdul Halim, Jaclyn Victor dan Timbalan Presiden KRU Music KC Ismail


Ceria sesi Edry dan Jaclyn Victor ketika sesi sidang media berlangsung


Sebahagian dari artis di bawah naungan KRU Music


Artikel disediakan oleh: KRU Music

No comments: